SERAMAI 50 penunggang memulakan cabaran pada Kejohanan Kuda Lasak, Fun & Easy Ride 2009 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong semalam.
Bagaimanapun tumpuan pasti terarah kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang mengetuai cabaran tersebut.
Tuanku Mizan berentap dengan 17 penunggang lain bagi kategori 80 kilometer pada kejohanan anjuran Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) dan kerajaan negeri itu.
Turut memberi cabaran adalah dua anakanda baginda, Tengku Nadhirah dan Tengku Muhammad Ismail yang bersaing dalam kategori 40km.
Tengku Muhammad Ismail menunggang kuda bernama Harmere Cairo manakala Tengku Nadhirah menunggang kuda bernama Jakim Zane.
Dalam saingan kategori 40km itu, para penunggang dibenarkan meneruskan perlumbaan sehingga 80km selepas memenuhi semua syarat yang ditetapkan.
Perlumbaan tersebut dilepaskan oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud kira-kira 5 petang.