Dalam kesibukan dengan tugas harian sebagai pemimpin negeri, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said tidak melupakan tuntutan agama untuk meningkatkan ibadat kepada Allah SWT apabila selamat berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan umrah selama seminggu.
Beliau yang diiringi isteri, To’ Puan Norliza Mahmud dan beberapa pegawai kanan dan ketua jabatan dijangka pulang ke tanah air pada 5 Ogos ini (Selasa).
Beberapa pegawai kanan dan kakitangan Pejabat Menteri Besar turut menghantar beliau dan rombongan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, pada jam 11.30 pagi, semalam (28 Julai).
Penerbangan akan singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Mekah, kira-kira jam 3 petang, semalam.
Selasa, Julai 29, 2008
MB KE MEKAH
MENCELIK SEMUA PIHAK
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata, isu penggunaan Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi anggota Exco negeri itu telah 'membuka mata' banyak pihak agar menangani dengan sebaik-baiknya isu-isu moral dan kepenggunaan.
Sambil meminta anggota Exconya jangan memperkecilkan isu kereta mewah berkenaan, beliau berkata, pendedahan media berhubung perkara itu telah membawa kepada tindakan membanteras penyelewengan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan usaha Proton Holdings Bhd. (Proton) meningkatkan lagi kualiti kereta keluarannya.
"Walaupun ia (isu penggunaan Mercedes) melukakan hati segelintir pihak namun bagi saya ia suatu pendedahan yang besar, Proton dan BPR sudah mula ambil tindakan.
"Bagi saya, kalau soal penyalahgunaan kuasa, kita tidak akan berkompromi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia sebelum berlepas untuk menunaikan umrah di Mekah.
Pendedahan media mengenai isu penggunaan kereta mewah itu telah membawa campur tangan BPR yang setakat ini menahan tiga pemilik bengkel kereta di Terengganu bagi membantu siasatan kes penyenggaraan 14 buah Proton Perdana V6 Executive kerajaan negeri berjumlah RM1.07 juta dalam tempoh empat tahun.
Kos penyenggaraan kereta nasional yang tinggi itu adalah sebab mengapa kerajaan negeri beralih kepada penggunaan Mercedes sebagai kenderaan rasmi anggota Exconya.
Isu kereta Mercedes itu turut mendorong Proton mengaudit rekod penyenggaraan semua Proton V6 Executive yang digunakan oleh kerajaan Terengganu dan Persekutuan bagi menyiasat kemungkinan berlaku penyelewengan oleh pusat servis bertauliahnya