SATU Terengganu berpesta pada perlumbaan peringkat keempat Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Malaysia (JM'09), semalam.
Kebanggaan peminat tempatan memuncak apabila menyaksikan pelumba sensasi negara kelahiran Kuala Ibai, Terengganu, Anuar Manan berada di puncak kemasyhuran.
Semalam, pelumba pasukan Azad University Continental Team itu menampilkan kayuhan penuh bertenaga apabila mengungguli saingan peringkat keempat itu, dan lebih membanggakan, ia dilakar di negeri kelahirannya.
"Apa lagi yang mahu saya katakan apabila berjaya memenangi perlumbaan di tempat sendiri. Sudah pasti saya sangat gembira apabila muncul juara di Kuala Terengganu.
"Saya mahu berkongsi kejayaan ini dengan seluruh peminat di sini yang sentiasa memberi sokongan kepada saya," jelas Anuar.
Pada perlumbaan dari Pasir Mas ke Kuala Terengganu sejauh 177.5 kilometer itu, Anuar berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan masa 4 jam 09 minit 21 saat, sekali gus mengetepikan cabaran 107 pelumba lain.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Rafai Chtioui daripada pasukan Doha Team dan Sergey Kudentsov (Polygon Sweetnice Team) yang turut mencatatkan masa 4'09:21s.
"Saya bersyukur kerana dapat menjuarai peringkat keempat JM'09. Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana sejak daripada awal perlumbaan lagi mereka memberi komitmen yang tinggi untuk membantu kejayaan saya ini.
"Kunci utama kejayaan ini lebih kepada kerja berpasukan dan ternyata strategi yang kami gunakan pada perlumbaan hari ini (semalam) benar-benar menjadi.
"Memang agak kecewa kerana gagal mengutip mata di zon pecutan tetapi saya gembira kerana menjuarai perlumbaan ini" tambah Anuar yang membuat penampilan sulung bersama Azad University Continental Team pada JM tahun ini.
Khamis, April 23, 2009
Satu Terengganu julang Anuar
Ketua sayap Umno Besut dakwa kena perangkap
Ketua ketiga-tiga sayap Umno Bahagian Besut mendakwa mereka diperangkap bagi menandatangani surat aku janji menyokong Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika menghadiri majlis perjumpaan khas parti itu di Kuala Terengganu malam kelmarin.
Ketua Pemuda Umno bahagian, Mahadi Musa, Engku Naimah Engku Taib (Wanita) dan Che Senah Sulaiman (Puteri) melahirkan rasa dukacita dan terkejut dengan dakwaan pihak tertentu menyatakan semua pemimpin sayap berkenaan yang hadir dalam mesyuarat itu menyokong kepemimpinan Ahmad.
Pada sidang media di sini, semalam, mereka tampil memberi perakuan menolak kepemimpinan Ahmad untuk menerajui pentadbiran kerajaan negeri, serta menyokong tindakan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) memboikot sidang DUN selepas tiga daripada mereka menerima khidmat pesanan ringka (SMS) ugutan bunuh.
Mengulas mengenai mesyuarat khas itu, Mahadi berkata, pemimpin Umno negeri dijemput menerusi SMS untuk menghadiri pertemuan yang diatur Badan Perhubungan Umno Negeri tetapi tidak dinyatakan mereka perlu menandatangani aku janji sokongan terhadap Ahmad.
“Pada malam itu, secara tiba-tiba semua yang hadir diarah menandatangani surat aku janji sebagai tanda sokongan padu terhadap Ahmad,” katanya.
Mahadi berkata, Pemuda Umno Besut juga kesal dengan tindakan badan perhubungan Umno negeri yang tidak menjemput Ketua Umno bahagian itu, Datuk Seri Idris Jusoh hadir sama pada mesyuarat berkenaan.
“Lebih menghairankan ialah ketua Puteri juga tidak dijemput tetapi ada pihak tertentu yang menandatangani surat aku janji sokongan itu bagi pihaknya,” katanya.
'Saya lega'
Datuk Ahmad Said lega kerana suspek yang ditahan polis berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ancaman kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai kaitan dengan pejabat beliau.
Menteri Besar Terengganu berkata, beliau yakin hasil siasatan polis terhadap lelaki berkenaan akan mendedahkan perkara sebenar yang berlaku dalam kes berkenaan.
''Saya berterima kasih kepada pihak polis kerana mempercepatkan siasatan kes ini. Saya harap kebenaran akan diketahui tidak lama lagi," katanya di sini hari ini.
“Tuhan Maha Kaya, perkara yang tidak betul akan terbongkar dengan sendirinya. Lambat atau cepat Tuhan akan menunjukkan siapa berada di pihak benar atau salah,” katanya ketika diminta mengulas isu SMS ugutan bunuh yang dikatakan dihantar daripada nombor telefon milik seorang pegawai kanannya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan seorang kerani syarikat swasta di Bandar Baru Bangi, malam kelmarin kerana disyaki menghantar SMS ancaman kepada tiga ADUN BN minggu lepas.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan mengesahkan bahawa lelaki berusia 31 tahun itu tiada kaitan dengan pejabat Menteri Besar seperti yang didakwa sebelum ini.