Ahad, November 29, 2009

Banjir Pulih

Banjir di Terengganu semakin surut dan keadaan kembali normal apabila jumlah penduduk di daerah Kuala Terengganu, satu-satunya kawasan yang masih dilanda banjir, berkurangan kepada 40 orang.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri berkata, hanya sebuah pusat pemindahan mangsa banjir masih dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak.

Jurucakap itu berkata mangsa banjir yang masih berada di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak terdiri daripada penduduk Taman Desa, Pusu Tiga disebabkan air di kawasan rumah mereka belum kering sepenuhnya.
Beliau berkata mangsa-mangsa itu mungkin dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sekiranya keadaan cuaca terus bertambah baik hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri berkata paras air sungai utama di Terengganu semuanya berada di paras biasa sejak beberapa hari lalu

Rabu, November 25, 2009

Suasana Banjir Di Terengganu

Keadaan banjir di daerah Kuala Terengganu dan Dungun di Terengganu semakin buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat pagi ini, manakala di Kelantan keadaan bertambah baik dengan bilangan mangsa di pusat pemindahan berkurangan.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu berkata, jumlah mangsa banjir yang masih berada di 65 pusat pemindahan di seluruh negeri itu adalah 6,680 orang, terdiri 3,345 di Dungun, 1,205 di Kuala Terenggganu, 1,496 Marang, 379 Hulu Terengganu, 217 Kemaman dan 38 Setiu.

Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu di Kampung Pelong ditutup kepada semua kenderaan kerana dinaiki air 1.5 meter, katanya.

Di Besut, keadaan kembali pulih apabila semua mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di daerah berkenaan telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing malam tadi.

Jurucakap itu berkata paras air di sungai utama di Terengganu, yang sebelum ini melepasi paras bahaya, hari ini kebanyakannya telah kembali ke paras biasa.

Namun, katanya, paras air di Sungai Nerus di Kampung Bukit pada pukul 9 pagi ini masih di paras bahaya 13.56 meter (bahaya 12.00 meter), Sungai Marang di Pengkalan Berangan berada pada paras 12.94 meter (paras waspada 12.5 meter). Cuaca di Terengganu hari ini kembali cerah.

Terengganu Nelang Sasar Treble

KEHADIRAN Irfan Bakti Abu Salim menyuntik semangat baru kepada pasukan bola sepak Terengganu untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2010.

Bekas jurulatih Perlis ini dianggap calon paling sesuai untuk membimbing skuad Terengganu Nelang bagi menggantikan tempat Ken Worden yang tidak disambung kontraknya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, pemilihan Irfan dibuat berdasarkan rekod cemerlang ketika membimbing beberapa pasukan sebelum ini.

"Saya harap Irfan akan membawa sinar baru kepada pasukan Terengganu dalam mengharungi Liga M tahun depan," katanya ketika ditemui pada majlis makan malam bersama media kelmarin.
Selain Perlis, Irfan pernah membimbing pasukan Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Telekom Melaka FC (TMFC) dan kelab Indonesia, Persipura Jayapura (2007).

Dengan pelantikan ini, Irfan menjadi jurulatih kesembilan Terengganu selepas Abdul Rahman Ibrahim, Mat Zan Mat Aris, Abdullah Mohammad, Ahmad Yunus Mohd. Alif, Tajuddin Nor, Marco Bilic dan Mohammad Nik.

Che Mat berkata, dia yakin dengan kehadiran Irfan dan gandingan pemain baru serta lama, Terengganu mampu menjadi salah sebuah pasukan yang digeruni musim depan.

Sementra itu, Irfan memberitahu, dia meletakkan sasaran awal untuk menduduki tiga tempat teratas dalam kempen Liga Super selain merangkul gelaran Piala FA dan Piala Malaysia.

"Dengan melihat senarai 21 pemain yang ada, saya yakin kami mempunyai keserasian dan saya berazam untuk memimpin mereka memenangi gelaran treble musim depan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia perlu menguji barisan pemain skuad Penyu sebelum membuat sebarang strategi permainan untuk mencapai sasaran itu.

Jelasnya, kekuatan skuad itu hanya akan dinilainya selepas mereka mula mengadakan latihan pada 1 Disember ini.

Dalam pada itu, PBSNT menyenaraikan enam pemain baru bagi memantapkan pasukan itu.

Che Mat Jusoh berkata, dua daripada mereka adalah bekas pemain Sarawak itu iaitu penyerang Joseph Kalang Tie dan Ronny Harun (pertahanan).

Pemain-pemain lain ialah bekas pemain kebangsaan K. Rajan dan Helmi Remeli dari Kuala Muda Naza, Mohd. Firdaus Mohd. Faudzi (Perlis) dan Tengku Hasbullah Tengku Hassan (KL Plus).

"Kita juga sedang berunding dengan beberapa pemain termasuk nama-nama terkenal untuk memperkuatkan lagi pasukan ini tahun depan," tambahnya.

Katanya, Terengganu terpaksa mengugurkan tujuh pemain selepas mereka meminta dilepaskan meskipun masih mempunyai kontrak iaitu Mohd. Shazlkan Alias, Ismail Faruqi, Mohd. Shazlan Alias, Azlan Ismail, Ahmad Shahril Zakaria dan Md. Shahrul Ezrain.

Pemain yang dikekalkan adalah Abdul Manaf Mamat, Ahmad Nordin Alias, Che Kuah Ahmad Rsydi Amir, Harin Mohd. Safil, Mohamad Marzuki Yusof, Mohamad Sharbinee Allawee Ramli, Mohamad Zairi Hafiezi Idris, Mohamad Sharmiza Yusoff, Mohamad Muhaimin Omar, Muhamad Ashaari Shamsuddin, Wan Mohamad Aliff Wan Jasni, Zairo Anuar Zalani, Shahrizam Mohamad, Mohamad Hassan Basri Ahmad Ridzuan dan Tengku Hazman Raja Hassan.

Jumaat, November 20, 2009

Terengganu Terus Cemerlang Dalam UPSR

Terengganu mengekalkan kecemerlangan apabila muncul negeri terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) buat tahun kesembilan berturut-turut.

Daripada 23,944 calon, sebanyak 3,664 mendapat semua A (15.3 peratus) iaitu peningkatan sebanyak 1 peratus berbanding tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, nilai gred purata juga meningkat kepada 2.22 mengatasi pencapaian tahun lepas dan nasional iaitu 2.33 manakala keputusan minimum C turut meningkat sebanyak 68.8 peratus berbanding tahun lepas sebanyak 68.6 peratus.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak khususnya Pengarah Pelajaran Negeri, Arifin Embong yang bekerja keras dalam memastikan Terengganu terus mencapai kecemerlangan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam ucapan sebelum bertolak menunaikan haji di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, hari ini.

Sementara itu, Ariffin dalam sidang akhbar di pejabatnya kemudian berkata, beberapa mata pelajaran yang diduduki calon Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) turut menunjukkan peningkatan peratus mendapat A.

Katanya, antara mata pelajaran tersebut ialah Sains, Matematik, Bahasa Melayu 1, Bahasa Melayu 2 dan Bahasa Cina.

Beliau percaya peningkatan keputusan negeri ini dalam peperiksaan tersebut turut dibantu melalui penggunaan buku elektronik (e-Book) yang dibekalkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

“Melihat kepada keputusan tahun ini kebanyakan sekolah luar bandar menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding tahun lalu,” katanya.

Khamis, November 19, 2009

MB & YB Razif Ke Mekah

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, dan isteri, Toh Puan Nurliza Mahmud, hari ini berlepas ke Tanah Suci melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menunaikan fardu haji.

Rombongan beliau turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, serta isteri, Halina Zakaria, selain beberapa pegawai kerajaan yang lain.

Ahmad dan isteri yang pertama kali menunaikan fardu haji dijangka pulang ke tanah air pada 9 Disember depan.

Hujan Lebat Berterusan Hingga Selasa di Terengganu


Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat Kuning di mana hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat di Kelantan dan Terengganu dijangka berterusan sehingga Selasa ini, sekaligus boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah berdekatan tebing sungai.

Hujan lebat peringkat Kuning juga diramalkan berterusan di Jerantut, Kuantan, Pekan, Maran dan Rompin di Pahang sehingga esok, sekaligus boleh juga menyebabkan banjir di kawasan rendah berdekatan tebing sungai.

Hujan lebat peringkat Kuning iaitu ialah berlaku hujan monsun dalam tempoh 24 sehingga 48 jam.

Selasa, November 17, 2009

Jalan Ke Lebuhraya Kenyir Rosak Teruk


Jalan sepanjang 128 kilometer bermula dari Felda Aring, Gua Musang, Kelantan ke Persimpangan Tasik Kenyir di sini belum diwartakan, tetapi lebih 250 pemandu kenderaan, termasuk lori kargo yang membawa bahan binaan termasuk simen, menceroboh jalan itu setiap hari.

Tindakan itu bukan saja membahayakan keselamatan pemandu kerana tidak dilindungi insurans, tetapi menyebabkan jalan sejauh kira-kira 16 kilometer bermula daripada Kampung Kuala Jeneris, di sini, mengalami kerosakan teruk.

Sehingga kini lebih 300 kereta penduduk tempatan dan pelancong mengalami kerosakan apabila terlanggar lubang besar kesan daripada tayar lori berat yang berulang alik menggunakan jalan berkenaan.

Turut mengalami kerosakan kenderaan rasmi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas negeri, Rozi Mamat selepas terlanggar lubang dalam.

Rozi yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Telemong, mengakui jalan utama ke Tasik Kenyir rosak angkara pemandu kenderaan berat yang menceroboh jalan yang belum diwartakan kerajaan, walaupun Jabatan Kerja Raya (JKR) memasang papan tanda amaran jalan itu belum dibuka kepada semua lalu lintas.

“Bagi mengelak jalan itu mengalami kerosakan lebih teruk, JKR negeri dan daerah Hulu Terengganu membelanjakan kira-kira RM150,000 sejak Mac lalu untuk melakukan kerja menimbus lubang,” katanya.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Basong, Mamat Mat Amin berkata, walaupun polis dan JPJ pernah mengadakan operasi termasuk mengambil tindakan mengeluarkan saman, tetapi tindakan itu seolah-olah tidak memberi kesan terhadap pemandu tegar.

“Pemandu kenderaan berat itu lebih licik apabila menghentikan kenderaan mereka di jalan yang belum diwartakan apabila menyedari polis atau JPJ mengadakan operasi. Saya cadangkan jalan ini ditutup terus supaya tidak ada kenderaan boleh masuk sehinggalah ia diwartakan kelak,” katanya.

Jalan dari Felda Aring ke Persimpangan Tasik Kenyir dibina sejak 2004, tetapi sehingga kini laluan yang diberi jolokan sebagai ‘jalan atas tasik’ itu belum diwartakan.

Jalan itu mula diceroboh pemandu kenderaan berat dari Gua Musang atau Simpang Pulai, Ipoh sejak Mac lalu untuk menghantar bahan binaan ke Kuantan, Pahang kerana menjimatkan masa perjalanan sehingga lima berbanding menggunakan laluan dari Besut, Terengganu ke Kuantan.

Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, pihaknya ada menerima aduan mengenai kenderaan berat yang dianggap melakukan pencerobohan di jalan yang belum diwartakan minggu lalu dan mengambil tindakan termasuk mengeluarkan saman, tetapi pemandu tegar tetap mengulangi kesalahan sama.

“Tindakan ke atas pemandu kenderaan terbabit hanya boleh diambil ketika lori terbabit melalui jalan yang dilaporkan mengalami kerosakan,” katanya yang akan menghantar pegawai penguat kuasa untuk melakukan risikan

Isnin, November 16, 2009

Pantai Tok Jembal Terhakis

Penduduk sepanjang pantai Tok Jembal di sini, meminta kerajaan negeri merangka pelan jangka panjang dengan menambak semula kawasan terhakis serta membina benteng pemecah ombak bagi menyelesaikan masalah hakisan yang semakin serius di kawasan itu.

Hakisan pantai yang semakin buruk menyebabkan nelayan terpaksa menanggung kerugian apabila peralatan menangkap ikan termasuk jentera penarik bot yang diletakkan di tepi pantai dihanyutkan ombak besar terutama ketika musim tengkujuh sekarang.

Selain kehilangan peralatan menangkap ikan, nelayan dan penduduk juga bimbang kerana hakisan sudah merebak hingga ke pinggir jalan sekali gus menumbangkan pokok yang mengindahkan kawasan pantai itu.

Seorang nelayan, Zulkifli Manan, 35, berkata dalam kejadian ombak besar terbaru Isnin lalu, dia dan beberapa rakan yang sedang berada di pondok di tepi pantai itu terpaksa bertungkus lumus menyelamatkan diri apabila air laut naik mendadak diikuti ombak besar.

“Dalam tempoh sekejap saja air sudah menenggelami kawasan ini dan apabila menyedari pelantar dan pondok ini akan roboh, kami berhempas pulas menyelamatkan pelbagai peralatan terutama bot gentian kaca dan pukat.


“Tetapi dalam keadaan getir itu, kami hanya sempat menyelamatkan bot gentian kaca dan terpaksa berputih mata apabila pukat dihanyutkan arus,” katanya ditemui di kawasan pantai itu, kelmarin.

Pengalaman menghadapi musim tengkujuh menyebabkan nelayan di kawasan itu lebih berhati-hati dan membuat persediaan termasuk membawa bot dan peralatan menangkap ikan ke darat walaupun keadaan itu tidak lagi dapat menghindarkan mereka daripada kerugian berikutan ombak ganas yang sudah menghakis sebahagian besar pantai itu, tambah Zulkiffli.

Kamal Hussin, 30, pula meminta kerajaan membina benteng pemecah ombak bagi mengelakkan hakisan bertambah teruk di kawasan pantai itu sekali gus memudahkan nelayan mencari rezeki tanpa dirundung kebimbangan peralatan menangkap ikan mereka akan dihanyutkan ombak.

“Setiap kali musim tengkujuh kami tidak dapat tidur lena kerana bimbang memikirkan ombak besar mungkin menghanyutkan bot kami di pantai,” katanya sambil menambah

Penduduk, Hasnordin Md Nor, 30, juga berharap kerja membina benteng pemecah ombak dan menambak pantai itu dapat disegerakan bagi mengelakkan hakisan lebih buruk hingga menghilangkan terus keindahan kawasan pantai itu yang sebelum ini menjadi antara destinasi riadah utama penduduk sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri ketika dihubungi menjelaskan pihaknya maklum dengan kejadian itu dan sudah meminta kerajaan negeri mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan hakisan menghilangkan terus keindahan pantai Tok Jembal.

Katanya, kerajaan negeri perlu mengambil langkah segera untuk mengelakkan keadaan hakisan menjadi bertambah buruk hingga menjejaskan kehidupan nelayan serta merosakkan keindahan kawasan itu.

“Seperti yang dapat kita lihat semakin banyak pokok rhu yang mengindahkan kawasan ini menyembah bumi berikutan hakisan pantai yang semakin buruk. Jika keadaan ini tidak dibendung, jangan terkejut dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang tiada lagi pokok rhu dan padang menghijau di pinggir pantai ini sebaliknya bertukar menjadi kawasan berpasir,” katanya.

Jumaat, November 13, 2009

Kereta Rempuh Bot


Orang ramai membantu menarik keluar kereta Toyota Corolla GL milik Mustafa Mohamad, 45 yang terbabas akibat brek tidak berfungsi ketika cuba berhenti di atas jeti yang kemudiannya merempuh bot nelayan yang kebetulan berlabuh di jeti Kampung Fikri, Kuala Terengganu hari ini.

Hairuddin kekal di T-Team

PENJARING gol Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, Hairuddin Omar mengesahkan untuk kekal bersama skuad T-Team Terengganu bagi menghadapi Liga Super 2010.

Keputusan itu diumumkan Hairuddin sendiri kepada Pengurus T-Team, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, selepas membantu Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia musim ini.

“Hairuddin dipinjam kepada Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan dalam kempen Piala Malaysia dan pemain itu akan kembali semula bersama T-Team mengikut perjanjian yang dibuat dengan pemain berkenaan,” kata Abdul Rahin, semalam.

Penyakit taun diisytihar wabak di Terengganu

Taun kini diisytiharkan sebagai wabak di Terengganu apabila bilangan pesakit yang mengalami gejala muntah dan cirit birit kronik yang dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini meningkat kepada 56 orang semalam, berbanding 20 orang kelmarin.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nordiyanah Hassan, berkata walaupun setakat ini hanya tiga daripada pesakit terbabit disahkan mengidap taun berdasarkan analisis sampel yang dibuat, tetapi penyakit itu diisytiharkan wabak selepas kes kematian pertama dicatatkan kelmarin.

"Sebagai persediaan dan langkah pencegahan awal, beberapa hospital di daerah lain juga sudah diarah membuka wad isolasi bagi menangani wabak daripada terus merebak.

"Jabatan juga sudah menghantar beberapa pegawai melaksanakan kerja mengambil sampel dan mengenal pasti punca wabak itu berlaku bagi membolehkan kerja pencegahan dapat dilakukan dengan lebih berkesan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.
Dr Nordiyanah berkata, bagi memastikan wabak tidak menular dan dapat dikawal, Jabatan Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan bagi memastikan mereka tidak mendapat jangkitan.

"Langkah yang perlu diambil termasuk mengelak makanan yang sudah tercemar dan tidak dimasak dengan sempurna, mengelak meminum air yang tidak dimasak, menjauhi premis perniagaan dan pengendali makanan yang tidak mengamalkan aspek penjagaan kebersihan yang baik dan jangan makan makanan yang sudah terdedah," katanya.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian di wad isolasi HSNZ semalam mendapati, pekarangan wad sesak dengan waris pesakit yang ingin melawat tetapi tidak dibenarkan berikutan langkah pencegahan yang dilaksanakan hospital.

Sementara itu, waris pesakit, Wan Mohd Zaki Wan Abdul Rawi, 24, berkata dia akur dengan larangan hospital yang tidak membenarkannya bertemu ibu saudaranya di wad isolasi.

Rabu, November 11, 2009

Jambatan Baru Dari Losong Ke Teluk Pasu


Sebuah jambatan yang menghubungkan Losong, Pulau Sekati dan Teluk Pasu akan dibina dalam Rancangan Malaysia Ke 10 (RMK-10) yang bermula tahun hadapan.

“Projek ini telah diluluskan dalam RMK-9, tetapi terdapat rombakan untuk melebarkan jalan, jadi penilaian semula perlu dibuat membabitkan urusan pengambilan balik tanah,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan juga sedang merangka pelan pembangunan dalam bandar bermula dari kampung Ladang Tok Pelam hingga ke Kampung Tanjong Kapor dalam usaha merubah wajah bandar raya ini dengan anggaran kos mencecah ratusan juta ringgit.

“Dengan pembangunan yang dirancang diharap tidak ada lagi kekotoran atau bangunan lama yang terbiar dan mencacatkan pemandangan selama ini terutama di kawasan pesisir pantai.

“MBKT juga akan memiliki bangunan sendiri setinggi 18 tingkat di kawasan hadapan plaza Kampung Tanjung Kapor akan dibina tahun depan dan kini dalam peringkat menyiapkan reka bentuk bangunan,” katanya.

Katanya, kerajaan juga merancang membina tempat letak kereta lima tingkat tahun depan di hadapan Wisma Darul Iman bagi mengatasi masalah parkir dan memberi keselesaan kepada kakitangan awam serta orang ramai yang ingin membuat urusan di jabatan-jabatan kerajaan berhampiran.

KT Central Di Bina Tahun Depan

Kerajaan negeri akan membina sebuah terminal pengangkutan awam termoden dikenali 'Kuala Terengganu Central' di Bukit Besar di sini tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, terminal berpusat yang menempatkan stesen bas dan teksi termoden itu bakal dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjungnya.

"Ia diwujudkan selepas kerajaan negeri menyedari stesen teksi dan bas yang ada di Kuala Terengganu sekarang sudah tidak sesuai," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) 2009 di Stadium Negeri di sini hari ini.



Mengenai dakwaan penduduk kononnya menghadapi masalah tempat letak kereta di sekitar bandar, Ahmad berkata, kerajaan negeri juga bercadang membangunkan sebuah kompleks letak kereta setinggi lima tingkat bersebelahan bangunan Wisma Darul Iman di sini tahun depan.

Katanya, kerajaan sudah menyediakan pelan reka bentuk kesemua projek yang dicadangkan dan apabila menjadi kenyataan, ia sekali gus mampu mengubah wajah bandar raya Kuala Terengganu yang selama ini sering digelar bandar lesu.

Menurutnya, kerajaan memandang serius isu berhubung pembangunan khususnya di Kuala Terengganu tetapi kadang kala dalam melaksanakan projek yang dirancang, terdapat segelintir rakyat tidak mahu mengubah pemikiran dalam menerima projek diusahakan.


Ahad, November 08, 2009

Irfan Bakti Jurulatih Terengganu?




Jurulatih Perlis, Irfan Bakti dijangka dipilih untuk menjadi Jurulatih Terengganu bagi mengganti Ken Worden. Presiden Persatuan Bolasepak Terengganu Dato Che Mat Jusoh telah mengumun untuk mendapat Irfan Bakti untuk melatih Pasukan Terengganu dalam Liga Malaysia 2010.

Beliau juga menyatakan seramai 8 pemain akan di gugur iaitu Azlan Ismail, Shazlan Alias, Ismail Faruqi, Shaiful Rusli & pemain simpanan yang turut di gugur ialah Rosli Muda, Syam Sharil, Badrul Hisham, Hafizi Awang & Alif Hafifi.

Penyokong Terengganu juga meminta PBSNT dapat menggugur Pemain tengah Tengku Hazman dan meminta PBSNT jangan kedekut untuk melabur untuk membeli pemain bertaraf bintang.

Rabu, November 04, 2009

Wook Derita Tanpa Suami

Wook Kundur, 107, antara wanita tertua di negara ini dan mempunyai suami hampir 70 tahun muda daripadanya, merayu Agensi Anti Dadah Kebangsaan agar memendekkan tempoh penahanan suaminya yang kini ditempatkan di Pusat Serenti Sungai Besi di Kuala Lumpur.

Ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat di sini, beliau berkata keadaannya yang semakin uzur menyebabkan beliau memerlukan suaminya, Mohd Nor Che Musa, 38, sentiasa berada di sisinya.

"Sekarang ini tok tak ada tempat bergantung," katanya.

Wook berkata, beliau berharap suaminya yang menjalani pemulihan secara sukarela selama dua tahun sejak Julai lalu kerana didapati positif mengambil dadah, dibebaskan dalam masa terdekat atau dipindahkan ke Terengganu.

Katanya, walaupun jiran dan orang ramai sering memberi bantuan dengan menghantar makanan seperti beras dan gula tetapi itu semua tidak sama berbanding suami ada berdekatan.

"Tok ada dengar khabar yang suami akan dipindah ke Pusat Serenti di Besut.

"Kalau dia betul-betul ditempatkan di Pusat Serenti Besut, senanglah sedikit tok melawat dia," katanya.

Wook, yang pernah berkahwin sebanyak 22 kali, berkata sepeninggalan suaminya sejak tiga bulan lalu, dia pernah beberapa kali berbual melalui telefon dan ada mengunjunginya sekali di Sungai Besi sebelum Aidilfitri yang lalu.

"Kalau boleh biarlah Mohd Nor cepat-cepat bebas kerana tok susah tinggal seorang diri. Malam-malam kalau sakit, siapa nak tolong tok.

"Kalau ada suami, senanglah," katanya yang masih kuat ingatan dan pendengaran walaupun berusia lanjut.

Isnin, November 02, 2009

Terus Kuala Terengganu Ke Madinah


Penerbangan pertama pesawat KT10 MH8008-MED membawa 351 jemaah haji di tiga buah negeri pantai timur selamat berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu ke Madinah tepat jam 7.20 petang, baru-baru ini (22 Oktober).

Pelepasan itu disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang turut berkesempatan bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal kepada jemaah haji musim 2009.

Turut sama menghantar jemaah, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

Dato’ Ahmad berkata, penerbangan seterusnya adalah pada 23, 24 Oktober dan 3, 4 November melibatkan 1,990 jemaah haji dari Terengganu, Kelantan dan Pahang.

“Kerajaan negeri mengharapkan setiap jemaah perlu menjaga kesihatan, banyakkan minum air dan menjaga tingkah laku apabila sampai ke Tanah Suci. Perkara itu perlu dipandang serius bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku.

Ahad, November 01, 2009

Tidor Dengan Gambar Pemimpin

Penduduk di beberapa kampung di daerah Besut dikesan mengamalkan kepercayaan terpesong kononnya akan beroleh pahala jika mereka tidur bersama gambar seorang pemimpin parti pembangkang di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Idris Jusoh ketika mendedahkan perkara itu mahu pihak berkuasa berkaitan dan ilmuwan Islam di negara ini supaya mengambil tindakan segera bagi memperbetulkan penyelewengan akidah yang dipercayai didalangi pihak tertentu.

“Selain tidur bersama gambar dan percaya apabila melihat gambar pemimpin berkenaan akan memperoleh pahala, penyokongnya juga ditanamkan dengan kepercayaan sekiranya bermimpi bertemu pemimpin itu, pahala berganda akan diperoleh oleh orang berkenaan.

“Ini satu perkara serius yang patut diperbetulkan kerana ia jelas memesongkan akidah yang bertujuan untuk mengekalkan populariti dalam politik," kata Idris kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jualan Mega peringkat daerah di sini, semalam.

Katanya, isu itu pernah timbul sebelum ini, dan akhir-akhir ini ia dikesan semakin menular di kalangan penduduk beberapa kampung di daerah ini.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih, berkata pihaknya mendapat laporan gambar pemimpin berkenaan bukan setakat dipamerkan di rumah, malah pada kenderaan penyokong parti berkenaan.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.