Kerajaan negeri kini memberikan perhatian dalam membangunkan kawasan-kawasan berdekatan pusat bandar Kuala Terengganu selepas ibu negeri berkenaan dimasyhurkan sebagai sebuah bandar raya pada awal tahun ini. Ini kerana Batu Enam dan Tepuh yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu turut menerima kesan akibat pembangunan di pusat bandar seperti sering mengalami kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.
Penduduk di sekitar bandar raya itu juga memilih kedua-dua kawasan tersebut sebagai tempat kediaman ekoran lokasinya yang berdekatan dengan pusat bandar.Selain itu, kedudukan Pekan Batu Enam dan Tepuh yang terletak di antara laluan utama Kuala Terengganu-Kota Bharu juga menyebabkan ia perlu dibangunkan bagi meningkatkan imej Kuala Terengganu .
Satu pelan telah dirangka bagi meningkatkan imej Pekan Batu dan Tepuh sebagai sebuah bandar yang turut melibatkan projek menaik taraf kemudahan dan infrastruktur asas.satu kajian yang dinamakan Rancangan Kawasan Khas kini telah dijalankan melibatkan pembangunan kedua-dua kawasan tersebut sehingga 2015.
Tepuh dan Batu Enam akan membangun sebagai pusat pertumbuhan bagi daerah Kuala Terengganu yang pembangunannya selari dengan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandar raya. Pelan pembangunan berkenaan melibatkan cadangan memperbaiki persimpangan 'Y' kepada persimpangan 'T' di Tepuh.
Di Tepuh, dirancang untuk menaik taraf Jalan Tepuh-Maras kepada laluan dua lorong selain menyediakan satu tapak kawasan perniagaan di Pekan Tepuh. Pelan itu juga merancang untuk menzonkan lot-lot di kiri dan kanan Jalan Kelantan kepada zon perniagaan.Rancangan ini akan membolehkan banyak kedai-kedai dan bengkel-bengkel yang terletak secara berselerak ditempatkan di satu kawasan secara tersusun.Tapak kolam yang ditinggalkan di Tepuh juga dirancang untuk dijadikan kawasan rekreasi air dan berfungsi sebagai Taman Tempatan.
Di Batu Enam pula, pelan itu juga mencadangkan pembinaan sebuah terminal bas dan teksi mini serta sebuah pasar baru selain menyediakan satu tapak perniagaan industri kecil dan sederhana bagi tujuan mengumpul bengkel setempat.Jalan utama serta jalan susur Batu Enam-Manir juga akan dibesarkan manakala Jalan Tengku Ampuan Intan Zaharah ke Gong Badak akan diluruskan dan Bulatan Batu Enam pula akan dijadikan Persimpangan Bertingkat.Sebuah kawasan rekreasi air dan jeti turut dibangunkan di tebing Sungai Nerus.
Jumaat, September 05, 2008
Pekan Batu 6 & Tepuh dimajukan
Label:
Daerah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan