Di bahagian Besut, Ketua Wanita Umno negeri, Senator Wan Ramlah Ahmad yang memperoleh 79 pencalonan daripada 123 cawangan akan dicabar Engku Naimah Engku Taib yang menawarkan diri bertanding selepas mendapat 44 pencalonan.

Bahagian Dungun turut menyaksikan pertandingan dua penjuru apabila Naib Ketua Bahagian, Zainun Abu Bakar bakal berhadapan dengan Rokiah Talib selepas penyandang jawatan, Zaleha Long membuat keputusan melepaskan jawatan. Zainun yang menawarkan diri bertanding menggantikan Zaleha memperoleh 45 pencalonan, manakala Rokiah yang tewas pada pemilihan empat tahun lalu mendapat 30 pencalonan.
Di bahagian Kuala Nerus, penyandang jawatan, Khatijah Awang yang memperoleh 80 pencalonan akan dicabar ahli jawatankuasa Wanita Umno bahagian itu, Selamah Abdullah selepas mendapat 20 pencalonan.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Rosli Mat Hassan, berkata mesyuarat perwakilan wanita Umno bahagian Kuala Terengganu dan Besut akan diadakan Jumaat ini.

Katanya, Wanita bahagian Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Marang akan mengadakan mesyuarat perwakilan pada Sabtu depan, manakala bahagian terakhir Hulu Terengganu pada 24 Oktober ini. "Kita menasihatkan semua perwakilan mematuhi peraturan dan tata tertib bagi memastikan persidangan perwakilan berjalan lancar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan