Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju membayar balik wang royalti minyak yang telah digunakan untuk projek-projek berkenaan sejak tahun 2000 hingga 2008 hasil perbincangan sebelum ini.
Menurutnya, kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan kini dalam peringkat akhir perbincangan untuk memperincikan perkara itu dan wang royalti minyak serta bayaran balik dijangka diterima sebelum akhir tahun ini.
''Kita sedang menunggu senarai projek yang dinilai oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, mana yang untuk kepentingan negeri dan mana yang tidak.''Mana projek yang tidak berkaitan dengan negeri, Kerajaan Persekutuan akan bayar balik wang berkenaan. Perkara ini akan dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Aidilfitri anjuran Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. (EPIC Bhd.) iaitu anak syarikat milik kerajaan negeri yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ramli Shahul Hameed di Pangkalan Bekalan Kemaman hari ini.
Ahmad memberitahu, bayaran balik wang berkenaan akan dilunaskan oleh Kerajaan Persekutuan manakala wang royalti minyak selepas ini akan dibayar terus oleh Petronas kepada kerajaan Terengganu.
Menurutnya, setakat ini kerajaan negeri belum mengetahui jumlah bayaran balik yang akan diterima daripada Kerajaan Persekutuan.
Jelasnya, antara projek yang telah dikenal pasti menggunakan wang royalti minyak yang perlu dibayar balik oleh Kerajaan Persekutuan termasuk projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) serta pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).
Katanya, projek berkenaan yang masing-masing bernilai lebih RM200 juta dan RM2.2 bilion, 50 peratus daripadanya dibiayai menggunakan wang royalti minyak Terengganu.
''LTSM sendiri akan diserah kepada Malaysia Airport Bhd. dan bukan kerajaan negeri, maka kena bayar baliklah," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan