Isnin, Mac 01, 2010

Terengganu Bollywood

Kerajaan negeri menyambut baik cadangan sebuah syarikat perfileman Bollywood menjadikan negeri itu sebahagian daripada lokasi penggambaran filem terbarunya.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata filem lakonan Rani Murkherjee itu dijangka memulakan penggambaran di beberapa tempat menarik seperti Tanjung Jara, Tasik Kenyir, Muzium Negeri, Pulau Redang dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud mulai Mei ini.

"Kita yakin apabila filem itu mengadakan penggambaran di negeri ini, ia memberi kelebihan kepada Terengganu apabila tempat-tempat menarik dalam filem itu akan ditonton oleh peminat filem Hindi di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Primula Beach Hotel Sdn Bhd dan Taman Tamadun Islam (TTI) Management Sdn Bhd di sini petang ini.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri menempah sebuah bot kaca berharga lebih RM3 juta bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan terutamanya di Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Katanya, bot berkenaan berbentuk seperti tongkang dengan dinding diperbuat daripada kaca bagi membolehkan pelancong melihat kehidupan laut manakala bahagian atas pula terdapat ruang makan dan minum.

"Kita buat sebuah dulu untuk lihat sambutan pelancong terhadap bot berkenaan. Kalau ia memberi sambutan yang baik, kita akan tambah lagi," katanya. -

Persimpangan Bertingkat Di Bandaraya KT


Beberapa jalan bertingkat dirancang dibina di sekitar Kuala Terengganu dalam usaha meningkatkan kemudahan prasarana di bandar raya ini.

Datuk Bandar, Datuk Mohd. Adzlan Mohd. Dagang (gambar) berkata, jalan raya berkenaan dijangka dibina dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menurut beliau, kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan pembinaan jalan raya bertingkat itu dalam pertemuan dengan kerajaan Pusat dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) baru-baru ini.

Katanya, antara jalan yang dicadangkan adalah Jalan Kamarudin dan Jalan Chabang Tiga, Simpang Tok Ku dan simpang empat berdekatan Jambatan Sultan Mahmud.

‘‘Dengan pembinaan jalan-jalan bertingkat ini, Kuala Terengganu akan dilihat sebagai sebuah bandar raya yang sebenar.

‘‘Pembinaan jalan raya bertingkat ini juga akan membantu kita menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di bandar raya ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) juga akan menjalankan kerja-kerja menaik taraf Pasar Besar Kedai Payang pada tahun ini.

‘‘Kerja-kerja menaik taraf ini telah lama dirancang dan penaiktarafan kali ini juga akan mempunyai nilai tambah bagi menambah tarikan pasar berkenaan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya juga akan melaksanakan projek menaik taraf Pasar Chabang Tiga di Chabang Tiga.

‘‘Apabila pasar ini siap kelak, ia akan menjadi alternatif kepada Pasar Besar Kedai Payang,” katanya.