Khamis, Januari 28, 2010

Kemenangan Pertama T Team


KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah jurulatih skuad T-Team, Che Ku Marzuki Mohd Nor apabila anak buahnya berhasil mengutip mata penuh berbekal kemenangan 1-0 ke atas Perlis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Tetapi keadaan sebaliknya tergambar pada jurulatih Perlis, Mohd Nidzam Adzha kerana anak buahnya mempamerkan persembahan buruk berikutan keadaan padang yang tidak rata hingga menyukarkan mereka untuk mengikut rentak yang dilakar pasukan tuan rumah.

Che Ku Marzuki berkata, kemenangan itu disandarkan kepada kemantapan barisan serangannya diketuai Mohd Haris Safwan Mohd Kamal yang bertindak bijak menggunakan peluang terbaik menjaringkan gol kemenangan seawal tiupan wisel pada babak kedua bermula.

“Walaupun menang tipis tetapi sudah cukup bermakna bagi T-Team kerana mampu menewaskan sebuah pasukan hebat seperti Perlis,” katanya.

Kallang Menjaring Dua Gol


HILANG fokus pada saat terakhir perlawanan ditakrif sebagai punca kekalahan Terengganu kepada Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.

Kekalahan Terengganu Berpunca gol sendiri oleh Joseph Kallang apabila bola tandukannya masuk ke jaring sendiri pada minit-minit akhir.

Terengganu mendahulu jaringan apabila Joseph Kallang menendang kencang diluar kotak penalti terus menerjah ke jaring Negeri Sembilan.

Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim mengakui terkilan dengan kekalahan 1-2 itu ketika yakin Terengganu mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

“Pemain saya hilang tumpuan pada saat-saat akhir perlawanan hingga membolehkan pihak lawan mengambil kesempatan menghukum kesilapan kami.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan mereka kerana ini baru perlawanan keenam dan kita ada 20 perlawanan lagi. Apa yang penting usaha ditingkatkan lagi memastikan misi berada dalam kelompok tiga teratas liga tercapai,” katanya.