Jumaat, Disember 25, 2009

Terengganu Cemerlang PMR


Terengganu mencatatkan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) antara tertinggi di negara ini dengan pencapaian nilai gred purata negeri (GPN) 2.60 mengatasi gred purata nasional 2.78.

Pengarah Pelajaran Negeri, Ariffin Embong berkata, kesemua 22,954 calon PMR yang menduduki peperiksaan itu tahun ini berjaya melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat, tahun depan.

Katanya, pencapaian minimum D juga telah meningkat sebanyak 1 peratus daripada 62.4 peratus pada tahun 2008 kepada 63.4 peratus.

Sementara itu katanya, pencapaian A dalam semua mata pelajaran bagi 2009 tidak berubah berbanding 2008 iaitu 7.1 peratus.

"Gred purata negeri bagi 11 daripada 13 mata pelajaran yang ditawarkan kepada calon PMR juga mengatasi gred purata nasional.

"Bagaimanapun, dua mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina pula tidak mencapai gred purata nasional iaitu masing-masing 3.35 dan 2.81 berbanding 3.25 dan 2.72," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ariffin berkata, secara keseluruhan, keputusan PMR 2009 menunjukkan peningkatan pencapaian keseluruhan dan mata pelajaran dari segi kualiti dan kuantiti berbanding 2008.

Katanya, sebanyak 26 (20 peratus) daripada 129 buah sekolah menengah di negeri ini berjaya mencapai gred purata sekolah kurang daripada 1.80.

"Antara sekolah sekolah termasuklah Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut mencatat keputusan gred purata paling tinggi iaitu 1.07 diikuti Sekolah Berasrama Penuh Batu Rakit, Kuala Terengganu 1.09 manakala SM Imtiaz Kuala Berang, Hulu Terengganu pula mencapai gred purata 1.10," ujarnya.

Beliau menambah, sebanyak 12 buah sekolah menengah juga mencapai 100 peratus minimum D dalam semua mata pelajaran.

"Antaranya, SM Sains Sultan Mahmud Kuala Terengganu, SM Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan SMK Lembah Bidong, Setiu," katanya.

Terengganu Belanja Besar Memaju Pendidikan


Kerajaan negeri Terengganu menyediakan peruntukan sebanyak RM250 juta untuk bidang pendidikan di negeri itu berbanding hanya RM200 juta pada tahun lepas.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, penambahan peruntukan itu menunjukkan kerajaan negeri amat mengambil berat terhadap bidang pelajaran terutama berkaitan dengan pencapaian pelajar.

"Kita akan pastikan semua rakyat Terengganu akan dapat menikmati bidang pelajaran dengan baik," katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan pingat emas dan hadiah kecemerlangan pelajar Yayasan Terengganu, di sini hari ini.

Ahmad berkata, kerajaan negeri dapat merasakan rakyat Terengganu telah mula sedar akan pentingnya pelajaran untuk masa depan mereka dan ia terbukti dengan kejayaan cemerlang yang dicapai oleh pelajar-pelajar di negeri ini melalui peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STAM dan STPM.

Beliau berkata, dengan peruntukan itu juga kerajaan berharap lebih ramai anak Terengganu dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang perubatan, pergigian, kejuruteraan dan sebagainya.

Sementara itu, Md. Kamarul Al-Amin berkata, Yayasan Terengganu menyediakan peruntukan RM20 juta untuk pelbagai bantuan, berbanding RM18.9 juta tahun ini.

Beliau berkata, peruntukan tersebut dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 26,000 orang pelajar yang layak.

Katanya, majlis penganugerahan hari ini melibatkan pelajar seramai 6,740 orang dan Marhaina Ismail, 19, pelajar program Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi Petronas, Tronoh Perak, berasal dari Marang dipilih sebagai pemenang pingat emas Yayasan Terengganu tahun ini.