Khamis, Disember 24, 2009

Berani Kerana Benar


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang sering dikaitkan dengan tuduhan penyelewengan dalam pelaksanaan pelbagai projek dalam pentadbirannya oleh kumpulan tertentu, semalam melafazkan sumpah dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menafikan semua dakwaan berkenaan.

Ahmad berkata, semua projek yang dilaksanakan dalam pentadbirannya, termasuk pemberian kurma dan air zam-zam adalah mengikut prosedur dan bertujuan memanfaatkan rakyat semata-mata.

"Dengan nama Allah, Bismillahirahmanirrahim, wallahi, wabillahi, wataallahi...tidak ada penyelewengan, rasuah dalam kes ini atau dalam kes-kes lain. Saya telus. Saya boleh jelaskan hal ini demi kepentingan rakyat.

"Saya sedih apabila ada wakil rakyat mempersoalkan mengenai pemberian kurma dan air zam-zam, malah ada andaian berlaku penyelewengan," katanya sambil menambah bungkusan kurma yang diagihkan kepada rakyat Terengganu dengan kos RM20 seunit adalah berpatutan dan tidak ada sebarang penyelewengan.

Pada Ramadan lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM8.3 juta untuk memberi pek kurma dan air zam-zam kepada lebih 300,000 isi rumah di negeri ini.

Beliau mengulas mengenai soal pengagihan air zam-zam dan kurma yang dibangkitkan oleh Alias Abdullah (BN-Alur Limbat) dalam sesi perbahasan bajet semalam.

Sepanjang persidangan sejak tiga hari lalu, antara persoalan yang dibangkitkan ialah mengenai pemberian kontrak melombong bijih besi di Bukit Besi, kontrak pemberian baju sekolah kepada pelajar miskin dan dasar rundingan terus yang dilakukan oleh kerajaan dalam soal pembaikan dan penurapan jalan.

Ahmad berkata, wakil rakyat sama ada pembangkang atau penyokong kerajaan, tidak seharusnya menggunakan keistimewaan dewan untuk membuat tuduhan terhadap kerajaan mahupun pegawai kanan.

"Kalau rasa ada penyelewengan dan rasuah, silakan (bangkitkan) di luar dewan.

"Sebab dalam dasar SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) jelas, kalau buat tuduhan yang mana terbukti tidak benar, orang (yang dituduh) itu boleh ambil tindakan dan mendakwa orang yang berkenaan kerana fitnah. Jangan guna hak istimewa dewan ini dengan membuat dakwaan bukan-bukan," katanya.

Selain isu air zam-zam dan kurma, Ahmad turut menjelaskan mengenai isu pengisian minyak kenderaan milik kerajaan negeri seperti yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008.

Mengikut laporan itu, tiga kenderaan milik kerajaan negeri dikesan mengisi minyak berjumlah RM602.37 dalam tempoh 16 minit pada hari dan dari pam minyak yang sama.

Menjelaskan punca kekeliruan itu, Ahmad berkata, dakwaan penyelewengan itu sebenarnya tidak berlaku kerana daripada penjelasan pemandu terbabit, semua kereta bergerak dalam konvoi dan hanya seorang pemandu yang membawa kad minyak dan mengisi minyak untuk ketiga-tiga kenderaan.

"Kerajaan memandang serius perkara itu dan ia perlu diperjelaskan dalam dewan yang mulia ini," katanya.

RM5 juta Untuk Mat Rempit



Sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi menjayakan program Mat Rempit Sifar di negeri mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Said berkata, pelbagai program akan dijalankan termasuk kempen kesedaran dengan penumpuan khas terhadap perubahan sikap Mat Rempit.

Katanya, usaha menangani Mat Rempit seharusnya diberi tumpuan kerana ia sudah menjadi suatu penyakit yang bukan sahaja berlaku di negeri ini malah negeri lain.

“Yang penting kita akan beri pengajaran dan setiap masalah tidak boleh diselesaikan tanpa mempunyai perancangan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd. Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Anggota pembangkang itu sebelum ini menggesa pihak berkuasa khususnya polis agar bertindak segera menangani kegiatan Mat Rempit yang menjadikan satu kawasan di Wakaf Mempelam dekat sini sebagai markas operasi mereka.

Katanya, ribuan Mat Rempit menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat aktiviti sebelum mereka menjalankan kegiatan ke kawasan lain.

Sementara itu, semasa menggulung perbahasan Abdul Rahin berkata, kerajaan negeri menyediakan dana khas sebanyak RM30 juta bagi membolehkan golongan belia menjalankan pelbagai perniagaan mulai tahun depan dalam usaha melahirkan usahawan berjaya.

Beliau yakin dengan adanya pelbagai bantuan mereka berpeluang menjalankan perniagaan secara lebih berkesan dan menyakinkan.

Katanya, satu garis panduan berhubung pembahagian bantuan akan dikeluarkan bagi memastikan skim bantuan diperkenalkan mencapai sasaran.