Sabtu, Disember 19, 2009

Kehebatan Penjaga Gol Terengganu

APA yang digapainya di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos, malam kelmarin adalah sesuatu yang masih sukar untuk dipercayai Mohd Sharbinee Allawee.

Manakan tidak, daripada hampir tidak dapat menaiki penerbangan ke Vientiane, dia sebaliknya mengakhiri cabaran bola sepak temasya ini dengan pengiktirafan baru selaku penjaga gol utama negara dan kalungan pingat emas di leher.

"Memang saya tidak pernah duga semua ini. Gembira sangat-sangat. Ini Sukan Sea pertama dan juga yang terakhir buat saya. Terima kasih kepada jurulatih, K Rajagobal, yang berani untuk percaya dengan saya," kata Sharbinee, 22.

Sharbinee sebelumnya bersaing dengan Syed Adney Syed Hussein untuk tempat selaku penjaga gol kedua negara - di belakang Farizal Marlias - sebelum dia memanfaat sebaik mungkin peluang beraksi ketika menentang Kemboja di peringkat kumpulan, selepas Farizal tersisih akibat penggantungan.

Semenjak itu, posisi selaku benteng terakhir negara kekal miliknya - diperkukuh aksi mantap ketika menentang Thailand selain kekentalan aksi bertemu Laos di separuh akhir dan penampilan persembahan penuh yakin serta tenang ketika menyerap asakan Vietnam di final.

Yusof Nor, Tokoh Maal Hijrah Nasional


Tokoh Maal Hijrah 1431H/2009M, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor, berazam memastikan rakyat beragama Islam dan bukan Islam di negara ini lebih memahami antara satu sama lain untuk membantu kerajaan merealisasikan konsep 1Malaysia.

Mohd. Yusof, 68, yang merupakan Pengerusi Felda berkata, perpaduan erat masyarakat Islam tanpa mengira ideologi politik di negara ini secara tidak langsung dapat memberi faedah kepada kaum minoriti lain seperti Cina dan India.

Bagaimanapun jelas beliau, senario itu tidak berlaku pada masa ini sebaliknya wujud sedikit perselisihan pendapat dalam beberapa perkara.

"Jika orang Islam yang merangkumi 60 peratus penduduk Malaysia bersatu, ia secara tidak langsung memberi manfaat kepada baki kaum lain.

"Bila ini berlaku, konsep 1Malaysia boleh berjalan lancar dan ini terbukti menerusi sejarah negara selama ini apabila perpaduan erat rakyat pelbagai kaum membantu menjana ekonomi kita," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis perhimpunan sambutan Maal Hijrah 1431H/2009M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.