Jumaat, Disember 11, 2009

Hairuddin Kecewa & Sedih

SUKAR buat penyerang terbaru Kelantan, Hairuddin Omar untuk menerima hakikat yang dia tidak dapat beraksi bersama T-Team apabila Liga Super bermula bulan depan.

Walaupun kini berada di Bangkok bersama pemain Kelantan yang lain, penyerang berusia 30 tahun itu masih teringat janji dimeterai bersama pengurus T-Team, Datuk Abdul Rahin Mohd Said.

Ketika menghubungi Arena semalam, anak kelahiran Kampung Saujana di Setiu, Terengganu itu berkata dia berjanji untuk pulang kembali menyarung jersi T-Team selepas tamat berkhidmat dengan Negeri Sembilan sepanjang kempen Piala Malaysia.

“Saya sudah memberi persetujuan kepada pengurus pasukan untuk menolak semua tawaran daripada pasukan lain termasuk Negeri Sembilan dan Kelantan kerana saya memang mahu kembali bersama T-Team semula.

“Saya juga memberitahu rakan sepasukan yang saya tidak akan beraksi untuk pasukan lain kecuali T-Team yang saya sama-sama berjuang untuk mendapat tempat dalam Liga Super selepas hanya semusim di Liga Perdana,” kata Hairuddin yang meraih kejuaraan Piala Malaysia bersama pasukan Rusa.

Bekas pemain Terengganu dan Pahang itu, berkata kepulangannya ke Kuala Terengganu untuk menandatangani kontrak dengan T-Team sebelum ini dikejutkan dengan berita daripada wakil pihak pengurusan yang dirinya sudah tidak mempunyai tempat dalam pasukan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu itu.

“Saya sedih dan kecewa kerana persetujuan awal saya dengan pengurus pasukan tidak dikira pakai lagi dan saya rasa, ini semua disebabkan ada pihak tertentu yang inginkan saya tidak diterima semula dalam pasukan itu.

“Memang berat hati ini untuk meninggalkan beberapa rakan karib saya dalam pasukan yang terlebih dulu menandatangani kontrak dengan T-Team kerana mereka yakin saya juga akan bersama mereka nanti,” katanya.

Menurutnya, nasibnya agak baik walaupun cuma ada dua hari sebelum tarikh pendaftaran pemain Liga Super ditutup kelmarin, Kelantan masih sudi membuka pintu mereka untuk dirinya meneruskan kerjaya dalam sukan bola sepak.

“Mungkin saya tidak mampu untuk bermain untuk pasukan negeri kelahiran saya namun saya bersyukur kerana masih berpeluang memerah keringat dan mencurah bakti saya di Pantai Timur,” katanya.

T Team Kecewa

T-TEAM dan Negeri Sembilan berputih mata apabila Hairuddin Omar sah menjadi pemain Kelantan semalam.

Penyerang berusia 30 tahun yang sebelum ini melahirkan hasrat kembali ke pangkuan T-Team selepas membantu Negeri Sembilan meraih kejuaraan Piala Malaysia, menunggu sehari sebelum tarikh terakhir pendaftaran pemain untuk memberi persetujuan mewakili pasukan negeri Che Siti Wan Kembang.

Pemain kelahiran kampung Saujana, Setiu, itu mengaku terkilan kerana tidak dapat bersama rakan sepasukan T-Team yang bersama-sama berusaha menjadi naib juara Liga Perdana dan seterusnya layak ke Liga Super.

“Kalau boleh saya memang mahu kembali ke negeri kelahiran saya walaupun pihak pengurusan Negeri Sembilan juga memberi tawaran menarik untuk terus bersama mereka dalam musim baru Liga Super.

“Namun, apakan daya pihak pengurusan T-Team dan saya tidak dapat mencari kata sepakat dalam hal ini dan saya terpaksa mencari jalan lain untuk meneruskan kerjaya bola sepak saya,” katanya sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand untuk menyertai latihan bersama rakan sepasukan Kelantan yang lain.

Beberapa hari sebelum itu, penolong pengurus T-Team, Rosdi Awang, berkata pihak pengurusan pasukan menutup pintu kepada Hairuddin untuk kembali menyertai pasukan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu itu.

“Kami sudah memberi banyak ruang dan masa kepada Hairuddin untuk pulang menandatangani perjanjian baru selepas tamatnya pertandingan Piala Malaysia namun dia seperti tidak berminat berbuat demikian.

“Akhirnya, kami terpaksa membuat keputusan untuk tidak lagi menerimanya kerana terpaksa memikirkan nasib dan hala tuju pasukan yang mungkin memerlukan pemain baru mengambil tempat pemain berkenaan,” katanya.