Khamis, Disember 10, 2009

TAX 1 - RM165,000


Nombor pendaftaran kenderaan TAX 1 dibida pada harga RM165,000, menjadikannya kedua tertinggi di negara ini selepas TAN 1 dijual pada harga RM200,090, sebelum ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie, berkata Terengganu terus unggul sebagai penyumbang nilai bidaan nombor pendaftaran tertinggi di negara ini, malah dua individu setakat ini menyatakan kesediaan menawarkan nilai bidaan bagi nombor TAY 1 pada harga lebih RM200,000.

Beliau berkata, TAY 1 yang dibuka untuk bidaan pada Mac atau April depan, dijangka menjadi nombor pendaftaran paling kompetitif dan terlaris, berdasarkan kecenderungan orang ramai terhadap nombor pendaftaran dengan suku kata berasaskan bunyi.

“Nombor TAX1 yang dibuka untuk dibida sejak 14 Oktober hingga 3 November lalu menerima 1,563 pembida berbanding nombor pendaftaran lain yang kebiasaannya tidak lebih 800 pembida.

“Kesanggupan pemilik kenderaan melabur sejumlah besar wang untuk mendapatkan nombor pendaftaran diingini juga menjadi penanda aras tahap ekonomi mereka,” katanya selepas Hari Pengarah JPJ Bersama Pelanggan di sini, semalam.

Pukau Kedai Emas


ZAKARIA YUSOFF pemilik kedai emas di Kuala Terengganu menceritakan bagaimana tiga buah beg berisi barangan kemas dilarikan lima suspek dipercayai warga Arab semalam.

Hanya dengan menepuk tangan dan bahu, empat lelaki dan seorang wanita dipercayai warga Arab dapat melarikan tiga buah beg sarat dengan barangan kemas bernilai RM1 juta.

Kejadian pada pukul 2 petang di sebuah kedai emas berhadapan dengan Pasar Besar Kedai Payang di Jalan Sultan Zainal Abidin itu berlaku di tengah-tengah kesibukan orang ramai.

Di sekitar pasar tersebut dianggarkan terdapat lebih 40 buah kedai emas yang beroperasi.

Pemilik kedai emas itu bersama tiga pekerja serta lima pelanggan yang ada di dalam kedai ketika itu mendakwa mereka hanya mampu melihat kelima-lima suspek itu menjinjing tiga buah beg iaitu dua berwarna hitam dan satu berwarna biru keluar dari premis itu menuju ke kereta.




Sebelum itu, kelima-lima suspek yang datang menaiki sebuah kereta Proton Persona masuk ke kedai emas tersebut dan berlagak sebagai pelanggan.

Mereka yang menggunakan isyarat tangan meminta pekerja di kedai emas itu menunjukkan beberapa barang kemas yang dipamerkan di situ.

Ketika memilih barang-barang kemas yang ditunjukkan, suspek-suspek itu kemudian dipercayai telah menepuk tangan dan bahu setiap pekerja dan pelanggan yang ada di dalam kedai itu.

Seperti tiada apa yang berlaku, suspek-suspek yang bercakap dalam bahasa Arab sesama mereka itu masih lagi meminta pekerja-pekerja kedai emas itu menunjukkan lebih banyak barang kemas.

Ketika itulah, dua daripada suspek itu dikatakan menolak salah satu meja pameran yang membolehkan suspek masuk ke dalam kedai emas.

Dua suspek itu terus masuk ke belakang kedai emas yang menempatkan sebuah peti besi tidak berkunci yang mengandungi tiga buah beg berisi barang kemas.