Khamis, Disember 03, 2009

Kehangatan Angin Kuat & Ombak Besar Monson Cup



Cabaran merebut gelaran juara Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2009 oleh 12 pasukan kini bermula di Pulau Duyong di sini semalam.

Perlumbaan hari pertama pusingan timbal balik yang bermula pukul 12 tengah hari semalam menyaksikan juara bertahan Piala Monsun, Peter Gilmour dari Yanmar Racing; juragan Black Match Racing, Adam Minoprio; Tovar Mirsky dari Mirsky Racing; juragan Origin, Ben Ainslie dan Damien Iehl dari pasukan Perancis mendahului pasukan lain selepas masing-masing mengumpul tiga mata.

Juragan pasukan Perancis, Mathieu Richard; Sebastian Col dari All4one dan Mangnus Holmberg dari Victory Challenge masing-masing mengumpul dua mata manakala Ian Williams dari pasukan Pindar, Francesco Bruni dari pasukan Azzurra serta Phil Robertson dari Waka Racing pula masing-masing mengumpul satu mata.

Pelayar negara, Hazwan Hazim Dermawan dengan pasukannya Taring Pelangi gagal mengumpul sebarang mata selepas melalui empat perlumbaan satu lawan satu pusingan timbal balik itu.

Piala Monsun merupakan sirkit terakhir dalam siri Jelajah Dunia Match Racing (WMRT) yang berlangsung di sembilan venue di seluruh dunia sejak awal tahun ini.

Gilmour ketika ditemui berkata, pasukannya membuat permulaan baik dengan menang tiga daripada empat perlumbaan dalam pusingan timbal balik itu.

''Kami bermula dengan baik dengan tiga kemenangan namun tewas kepada Williams yang menunjukkan persembahan yang lebih baik.

''Hujan lebat, angin kencang dan arus ombak kuat merupakan cabaran yang hebat kepada mereka serta pasukan lain," katanya.

Dalam pada itu, majlis pelancaran kejohanan kapal layar bertaraf antarabangsa tersebut yang berlangsung kira-kira pukul 2.45 petang ini disempurnakan oleh Ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Ismail.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohd. Yasin Mohd. Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib.

Majlis perasmian tersebut dimulakan dengan perarakan masuk Piala Kristal WMRT dan Trofi Piala Monsun oleh tujuh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ia kemudian diikuti oleh semua 12 pasukan diketuai Hazwan Hazim.

Sejurus selepas majlis perasmian tamat, perlumbaan pusingan timbal balik bersambung semula sehingga pukul 6 petang.

Pusingan timbal balik akan bersambung semula kira-kira pukul 10 pagi ini.

Laluan Kuala Berang-Gua Musang masih ditutup



Laluan menghubungkan Kuala Berang-Gua Musang di Kilometer 31 dekat Kampung Kuala Jenderis di sini masih ditutup kepada lalu lintas akibat tanah runtuh yang berlaku sejak 24 November lalu.

Runtuhan itu disebabkan saluran air bawah tanah di kawasan itu pecah akibat rempuhan air deras ketika banjir gelombang kedua melanda tempoh hari.

Akibat runtuhan, jalan di kawasan itu runtuh sehingga membentuk beberapa lubang besar dan cerun curam di kiri kanan jalan.

Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Terengganu berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu selain menunggu arahan pihak atasan jabatan berkenaan untuk kerja-kerja membaik pulih dilakukan.

Menurutnya, selain kejadian di kawasan berkenaan, beberapa lokasi di sepanjang laluan sejauh lebih 50 kilometer menghubungkan Kuala Berang-Gua Musang turut ditutup kepada semua kenderaan.

"Beberapa lokasi di laluan itu terpaksa ditutup kepada lalu lintas atas faktor keselamatan dan amat berbahaya kepada pengguna," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Jurucakap itu bagaimanapun berkata, kos kerugian akibat kejadian runtuhan tersebut masih belum diketahui kerana ia masih dalam siasatan.

Difahamkan, projek jalan tersebut siap pada 2007 mengikut fasa dan kini masih belum lagi diwartakan.