Rabu, November 25, 2009

Suasana Banjir Di Terengganu

Keadaan banjir di daerah Kuala Terengganu dan Dungun di Terengganu semakin buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat pagi ini, manakala di Kelantan keadaan bertambah baik dengan bilangan mangsa di pusat pemindahan berkurangan.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu berkata, jumlah mangsa banjir yang masih berada di 65 pusat pemindahan di seluruh negeri itu adalah 6,680 orang, terdiri 3,345 di Dungun, 1,205 di Kuala Terenggganu, 1,496 Marang, 379 Hulu Terengganu, 217 Kemaman dan 38 Setiu.

Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu di Kampung Pelong ditutup kepada semua kenderaan kerana dinaiki air 1.5 meter, katanya.

Di Besut, keadaan kembali pulih apabila semua mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di daerah berkenaan telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing malam tadi.

Jurucakap itu berkata paras air di sungai utama di Terengganu, yang sebelum ini melepasi paras bahaya, hari ini kebanyakannya telah kembali ke paras biasa.

Namun, katanya, paras air di Sungai Nerus di Kampung Bukit pada pukul 9 pagi ini masih di paras bahaya 13.56 meter (bahaya 12.00 meter), Sungai Marang di Pengkalan Berangan berada pada paras 12.94 meter (paras waspada 12.5 meter). Cuaca di Terengganu hari ini kembali cerah.

Terengganu Nelang Sasar Treble

KEHADIRAN Irfan Bakti Abu Salim menyuntik semangat baru kepada pasukan bola sepak Terengganu untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2010.

Bekas jurulatih Perlis ini dianggap calon paling sesuai untuk membimbing skuad Terengganu Nelang bagi menggantikan tempat Ken Worden yang tidak disambung kontraknya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, pemilihan Irfan dibuat berdasarkan rekod cemerlang ketika membimbing beberapa pasukan sebelum ini.

"Saya harap Irfan akan membawa sinar baru kepada pasukan Terengganu dalam mengharungi Liga M tahun depan," katanya ketika ditemui pada majlis makan malam bersama media kelmarin.
Selain Perlis, Irfan pernah membimbing pasukan Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Telekom Melaka FC (TMFC) dan kelab Indonesia, Persipura Jayapura (2007).

Dengan pelantikan ini, Irfan menjadi jurulatih kesembilan Terengganu selepas Abdul Rahman Ibrahim, Mat Zan Mat Aris, Abdullah Mohammad, Ahmad Yunus Mohd. Alif, Tajuddin Nor, Marco Bilic dan Mohammad Nik.

Che Mat berkata, dia yakin dengan kehadiran Irfan dan gandingan pemain baru serta lama, Terengganu mampu menjadi salah sebuah pasukan yang digeruni musim depan.

Sementra itu, Irfan memberitahu, dia meletakkan sasaran awal untuk menduduki tiga tempat teratas dalam kempen Liga Super selain merangkul gelaran Piala FA dan Piala Malaysia.

"Dengan melihat senarai 21 pemain yang ada, saya yakin kami mempunyai keserasian dan saya berazam untuk memimpin mereka memenangi gelaran treble musim depan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia perlu menguji barisan pemain skuad Penyu sebelum membuat sebarang strategi permainan untuk mencapai sasaran itu.

Jelasnya, kekuatan skuad itu hanya akan dinilainya selepas mereka mula mengadakan latihan pada 1 Disember ini.

Dalam pada itu, PBSNT menyenaraikan enam pemain baru bagi memantapkan pasukan itu.

Che Mat Jusoh berkata, dua daripada mereka adalah bekas pemain Sarawak itu iaitu penyerang Joseph Kalang Tie dan Ronny Harun (pertahanan).

Pemain-pemain lain ialah bekas pemain kebangsaan K. Rajan dan Helmi Remeli dari Kuala Muda Naza, Mohd. Firdaus Mohd. Faudzi (Perlis) dan Tengku Hasbullah Tengku Hassan (KL Plus).

"Kita juga sedang berunding dengan beberapa pemain termasuk nama-nama terkenal untuk memperkuatkan lagi pasukan ini tahun depan," tambahnya.

Katanya, Terengganu terpaksa mengugurkan tujuh pemain selepas mereka meminta dilepaskan meskipun masih mempunyai kontrak iaitu Mohd. Shazlkan Alias, Ismail Faruqi, Mohd. Shazlan Alias, Azlan Ismail, Ahmad Shahril Zakaria dan Md. Shahrul Ezrain.

Pemain yang dikekalkan adalah Abdul Manaf Mamat, Ahmad Nordin Alias, Che Kuah Ahmad Rsydi Amir, Harin Mohd. Safil, Mohamad Marzuki Yusof, Mohamad Sharbinee Allawee Ramli, Mohamad Zairi Hafiezi Idris, Mohamad Sharmiza Yusoff, Mohamad Muhaimin Omar, Muhamad Ashaari Shamsuddin, Wan Mohamad Aliff Wan Jasni, Zairo Anuar Zalani, Shahrizam Mohamad, Mohamad Hassan Basri Ahmad Ridzuan dan Tengku Hazman Raja Hassan.