Rabu, November 11, 2009

Jambatan Baru Dari Losong Ke Teluk Pasu


Sebuah jambatan yang menghubungkan Losong, Pulau Sekati dan Teluk Pasu akan dibina dalam Rancangan Malaysia Ke 10 (RMK-10) yang bermula tahun hadapan.

“Projek ini telah diluluskan dalam RMK-9, tetapi terdapat rombakan untuk melebarkan jalan, jadi penilaian semula perlu dibuat membabitkan urusan pengambilan balik tanah,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan juga sedang merangka pelan pembangunan dalam bandar bermula dari kampung Ladang Tok Pelam hingga ke Kampung Tanjong Kapor dalam usaha merubah wajah bandar raya ini dengan anggaran kos mencecah ratusan juta ringgit.

“Dengan pembangunan yang dirancang diharap tidak ada lagi kekotoran atau bangunan lama yang terbiar dan mencacatkan pemandangan selama ini terutama di kawasan pesisir pantai.

“MBKT juga akan memiliki bangunan sendiri setinggi 18 tingkat di kawasan hadapan plaza Kampung Tanjung Kapor akan dibina tahun depan dan kini dalam peringkat menyiapkan reka bentuk bangunan,” katanya.

Katanya, kerajaan juga merancang membina tempat letak kereta lima tingkat tahun depan di hadapan Wisma Darul Iman bagi mengatasi masalah parkir dan memberi keselesaan kepada kakitangan awam serta orang ramai yang ingin membuat urusan di jabatan-jabatan kerajaan berhampiran.

KT Central Di Bina Tahun Depan

Kerajaan negeri akan membina sebuah terminal pengangkutan awam termoden dikenali 'Kuala Terengganu Central' di Bukit Besar di sini tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, terminal berpusat yang menempatkan stesen bas dan teksi termoden itu bakal dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjungnya.

"Ia diwujudkan selepas kerajaan negeri menyedari stesen teksi dan bas yang ada di Kuala Terengganu sekarang sudah tidak sesuai," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) 2009 di Stadium Negeri di sini hari ini.



Mengenai dakwaan penduduk kononnya menghadapi masalah tempat letak kereta di sekitar bandar, Ahmad berkata, kerajaan negeri juga bercadang membangunkan sebuah kompleks letak kereta setinggi lima tingkat bersebelahan bangunan Wisma Darul Iman di sini tahun depan.

Katanya, kerajaan sudah menyediakan pelan reka bentuk kesemua projek yang dicadangkan dan apabila menjadi kenyataan, ia sekali gus mampu mengubah wajah bandar raya Kuala Terengganu yang selama ini sering digelar bandar lesu.

Menurutnya, kerajaan memandang serius isu berhubung pembangunan khususnya di Kuala Terengganu tetapi kadang kala dalam melaksanakan projek yang dirancang, terdapat segelintir rakyat tidak mahu mengubah pemikiran dalam menerima projek diusahakan.