Rabu, Oktober 28, 2009

Hi Jang Sikit Sangat Bekalan !

HASRAT Negeri Sembilan untuk membawa bekalan selesa ke aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia tidak kesampaian apabila sekadar menang 1-0 ke atas Terengganu di Stadium Paroi, malam tadi.

Pelawat yang dibimbing Ken Worden yang masih meraikan kejayaan menewaskan juara Liga Super, Selangor menerusi sepakan penalti minggu lalu, nyata kental bertahan di benteng dan mengekang jentera serangan anak buah Wan Jamak Wan Hassan.

Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak hampir meletakkan tuan rumah di depan seawal minit kelapan, namun tolakkannya selepas menerima hantaran Shahurain Abu Samah dinafikan tiang kiri gawang ketika penjaga gol Terengganu, Md Sharbinee Alawee sudah pun tertewas.

Saingan separuh masa jelas dikuasai tuan rumah sehingga pelawat dikerah berkampung di kawasan sendiri dengan meletakkan enam pemain di benteng dan hanya sesekali cuba mengacah Negeri Sembilan menerusi serangan balas kilat.

Keadaan itu menyukarkan barisan depan skuad Hoben Jang Hoben untuk merobek gawang pelawat yang menyaksikan separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Selepas gagal menembusi gawang pelawat walaupun bertali arus menyerang pada separuh masa, akhirnya pemain pertahanan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak meletakkan Negeri Sembilan mendahului 1-0 selepas menanduk masuk tendangan sudut S Kunalan pada minit ke-50.

Mohd Zaquan hampir menggandakan jaringan dengan menanduk deras bola lambungan kapten pasukan, Mohd Rezal Zambery Yahya tetapi Md Sharbinee sempat melayangkan badan menepis bola keluar pada minit ke-67.

Pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Hariri Mohd Safie diperintah keluar padang oleh pengadil, R Krishnan kerana mendapat kad kuning kedua sesudah mengasari Hairuddin Omar ketika saingan berbaki 10 minit.

'Itulah hebatnya saya...'

"Itulah hebatnya (saya) barangkali."

Begitulah reaksi spontan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali sewaktu ditanya perasaan beliau selepas disenaraikan oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai salah seorang pemimpin yang perlu 'dibersihkan' daripada Pas.

Malah Mustafa turut menyifatkan dirinya paling tenang hari ini.

"Secara jujurnya saya tak rasa apa-apa pun berbanding yang lepas-lepas, Tok Guru (Nik Abdul Aziz) sebut nama begitu tak ada apa-apa, saya tak ada terluka.

"(Dulu) orang pernah kata saya macam-macam, tak jadi apa," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Agung Pas, di sini hari ini.

Pada sidang akhbar, Mustafa menangkis pelbagai soalan sensitif daripada wartawan dengan memberi jawapan bersahaja sambil ketawa kecil.

Politik dalaman Pas sekali lagi mencuri tumpuan nasional apabila Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas melalui blognya www.blogtokguru.com Jumaat lalu mencadangkan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menyingkirkan beberapa pemimpin bermasalah.

Tiga pemimpin yang dinamakan beliau ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, Mustafa dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustafa yang ditanya adakah beliau terkejut dengan tindakan Nik Abdul Aziz berkata:

"Secara tiba-tiba memang saya pun begitu juga...tapi awak tak usah masuk (tulis) saya terkejut nanti benda itu nampak parah sangat, saya tak terkejut."

Ditanya kenapa Nik Abdul Aziz mencadangkan EGM dan menamakan pemimpin yang perlu dibersihkan, Mustafa meminta wartawan bertanya kepada Nik Abdul Aziz sendiri.

"Awak tanya dia, jangan tanya saya, kalau tanya saya tiada masalah. Kalau awak tanya dia (Nik Abdul Aziz) mungkin ada (masalah).

"Tak boleh tanya saya benda yang saya tak kata, saya pun tak faham juga, saya tak boleh buat andaian apa sebab, saya tak tahu," tegasnya.

Menjawab soalan adakah berlaku konflik dalaman dalam Pas, Mustafa menafikan perkara itu kerana tiada pihak yang membangkitkannya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat pada 18 Oktober lalu.

Bantulah Hero Kita

KERAJAAN Negeri Terengganu akan membiayai segala perbelanjaan rawatan bekas pemain bola sepak negeri dan kebangsaan, Yahya Jusoh yang sedang menderita akibat penyakit lumpuh.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Rahin Mohd. Said berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan Yayasan Kebajikan Atlet untuk menanggung kos rawatan yang ditanggung Yahya nanti.

"Tindakan kerajaan itu sejajar dengan khidmat bakti dan sumbangan Yahya dalam sukan bola sepak baik pada peringkat negeri mahupun kebangsaan," katanya selepas melawat Yahya di Permin Jaya, Kuala Tereng- ganu semalam.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Kebajikan Atlet, Datuk Paduka Dr. Mumtaz Jaafar dan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Soh Chin Aun turut mengunjungi Yahya semalam.

Yahya, 57, merupakan pemain seangkatan Chin Aun dan Allahyarham Mokhtar Dahari, diserang penyakit lumpuh berikutan sakit tulang leher sejak dua minggu lepas.
Rahin berkata, kerajaan negeri memberi pengiktirafan sewajarnya kepada Yahya termasuk membantu empat orang anaknya jika perlu.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bersetuju memberi sumba- ngan RM10,000 kepada Yahya, yang akan disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dengan segera.

Sementara itu, Mumtaz berkata, Yayasan Kebajikan Atlet akan membawa Yahya ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat untuk menjalani pemeriksaan pakar mengenai penyakit yang dihidapinya.

Beliau berkata, semua kos untuk rawatan Yahya nanti akan ditanggung sepenuhnya oleh yayasan.

"Kami dapat tahu Yahya dalam keadaan tidak sihat, dan hari ini (semalam) kami datang untuk melihat dan memberi sokongan semangat kepada beliau," katanya.

Ketika zaman kegemilangannya pada era 70-an dulu, Yahya yang bermain pada posisi bek kanan, dianggap sebagai 'kereta kebal' skuad kebangsaan.

Dia memiliki keistimewaan melakukan 'overlapping' untuk membantu jentera serangan.