Khamis, Oktober 22, 2009

Gol Selangor Terkena Tangan?

Namun, jurulatih Selangor, K. Devan masih berani menyatakan: "Kami akan ke perlawanan akhir. Anda peganglah kata-kata saya ini.

"Jika lawan boleh menjaringkan gol di sini, mengapa tidak kami pula melakukannya (apabila ke Kuala Terengganu, Sabtu ini) malah dengan kualiti pemain dan pasukan yang Selangor miliki.''

Naib juara 2008 di ambang tersingkir apatah lagi skuad Penyu lebih selesa kerana hanya perlu seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah nanti untuk mara ke separuh akhir berdasarkan peraturan gol di tempat lawan jika terikat secara agregat.

Malah, jika gol pendahuluan menerusi Amri Yahyah pada minit ke-21 yang seolah-olah terkena tangannya terlebih dulu dibatalkan pengadil, Selangor mungkin terpaksa berputih mata dalam perlawanan yang disaksikan hampir 10,000 penonton itu.

Rekod pertemuan terakhir mereka di Kuala Terengganu dalam Liga Super lalu menyebelahi tuan rumah 2-1 sekali gus menuntut Devan dan anak-anak buah memanfaatkan rehat tiga hari menjelang suku akhir kedua dengan sesi latihan yang lebih keras.

Jurulatih Terengganu, Ken Worden sendiri tidak percaya anak buahnya mampu mengekang kegarangan Selangor 1-1 apatah lagi tanpa membuat sebarang pertukaran pemain dalam suku akhir pertama bola sepak Piala Malaysia, kelmarin.

"Ia satu keputusan menakjubkan. Saya pun tidak percaya yang kami mampu bertahan dengan Selangor walaupun dalam beberapa segi, saya juga sedih (dengan bekas pasukan bimbingannya).

"Namun ia tidak membawa sesuatu makna yang istimewa kerana dapat menewaskan bekas pasukan saya cuma ia lebih bererti kerana beroleh keputusan yang positif buat Terengganu," katanya, semalam yang turut mengakui lega dapat menurunkan tiga pemainnya baru pulih daripada kecederaan urat pelipat lutut.

Gol penyamaan cantik pemain tengah, Zairo Anuar Zalani menerusi sepakan bebas sejauh 40 meter yang tidak dapat ditangkis Hamsani Ahmad, ternyata menyelamatkan Terengganu untuk mengharungi 90 minit lagi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan sedikit selesa.

Terengganu Negeri Selamat

Polis Kontinjen Terengganu berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 12 peratus dan menyelesaikan 60 peratus kes sepanjang 10 bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jumlah itu bukan saja melebihi sasaran awal penurunan sebanyak 10 peratus daripada 4,741 kes tahun lalu kepada 4,276 kes tahun ini, malah membanggakan warga kerjanya dan orang awam sekali gus menjadikan Terengganu sebagai negeri selamat.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata pencapaian memberangsangkan itu diperoleh hasil kerjasama padu semua lapisan masyarakat termasuk pembabitan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung; Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dalam membantu tugas polis membanteras dan membendung jenayah.

"Kita akan teruskan pendekatan polis dan masyarakat bersama mencegah jenayah menerusi pelbagai program dan kempen membabitkan pihak lain seperti bank, pelajar dan agensi kerajaan serta swasta.

"Mulai bulan depan, kita akan turun ke sekolah dan mengaktifkan semula Pegawai Perhubungan Sekolah untuk mengendalikan program seperti ceramah dan kempen di kalangan pelajar," katanya pada majlis sambutan Aidilfitri Polis Kontinjen Terengganu di sini, semalam.

Begitupun katanya, jumlah kes jenayah membabitkan remaja berusia antara 15 hingga 25 tahun masih lagi tinggi dan merangkumi 60 peratus daripada keseluruhan kes tahun ini.

Katanya, antara kes yang sering dikaitkan dengan golongan terbabit seperti samseng jalanan, dadah, curi dan rogol.

"Kebanyakan kes ini membabitkan remaja luar bandar dan ia berpunca kerana kurangnya pengawasan daripada ibu bapa.

"Ada kes samseng jalanan menunjukkan keluarga tidak ambil kisah dan tidak tahu ke mana anak mereka keluar pada waktu malam, jadi disebabkan tiada pengawasan inilah remaja bebas bergaul dan terpengaruh dengan rakan melakukan aktiviti tidak sihat," katanya.