Sabtu, Oktober 03, 2009

Kaji Penghantaran Pelajar Ke Indonesia

Kerajaan Terengganu akan mengkaji semula penghantaran pelajar jurusan perubatan ke Indonesia atas faktor keselamatan berikutan gempa bumi yang sering berlaku di negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerajaan negeri sedang mempertimbangkan kemungkinan menghantar pelajar bidang perubatan ke Poland atau Hungary.

"Apa pun keputusan yang bakal diambil nanti, ia adalah yang terbaik untuk pelajar-pelajar kita," katanya kepada pemberita pada Program Semarak Bestari 1Malaysia di Kampung Baru Seberang Takir, di sini, hari ini..

Razif berkata, buat masa ini terdapat seramai 65 pelajar Terengganu sedang menuntut dalam bidang perubatan di 10 buah universiti di Indonesia.

Seorang daripada pelajar berkenaan menuntut di Universitas Andalas di Padang yang mengalami gempa bumi dua hari lepas. Bagaimanapun, pelajar itu terselamat dalam kejadian itu.

Razif berkata, kerajaan negeri akan menghantar rombongan pegawai Yayasan Terengganu ke Indonesia minggu depan untuk melihat aspek keselamatan pelajar di sana.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri akan meneruskan penghantaran masing-masing 50 pelajar ke Mesir dan ke Rusia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan tahun ini.

Perlawanan Hebat Malam Ini

SEMANGAT daripada kenduri gol 8-0 ke atas Sarawak, Selasa lalu, mahu digunakan Negeri Sembilan untuk menjinakkan Terengganu dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia, di gelanggang lawan, malam ini.
Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan, berkata misi pasukannya tetap mencari tiga mata dan yakin pemainnya mampu melaksanakannya menerusi persefahaman serta semangat berpasukan yang tinggi ketika ini.

“Sebelum ini Zaquan hanya berseorangan di barisan depan tetapi dengan kehadiran Hairuddin, diharapkan persembahan penyerang kebangsaan itu lebih baik dan lancar dalam merobek gawang lawan.

“Lebih-lebih lagi Zaquan sering bertanding di peringkat antarabangsa dan sudah tentu pengalaman serta sentuhannya amat ditagih untuk membantu Negeri Sembilan mengecapi kejayaan musim ini,” katanya.


Beliau bagaimanapun tetap menghormati Terengganu yang turut menampilkan barisan berwibawa lebih-lebih lagi selepas menewaskan Johor, 2-0, Selasa lalu.

"Pemain saya perlu mengekalkan fokus kerana saya menjangkakan tugas memburu kemenangan malam esok (ini) bukan mudah kerana Terengganu sudah pasti akan memberikan tentangan sengit untuk mempertahankan kelebihan yang mereka miliki," katanya.