Ahad, September 13, 2009

Abdul Manaf Penyerang Berbisa

ABDUL Manaf Mamat meletakkan dirinya sebagai penyelesaian kepada masalah kebuntuan jentera serangan Malaysia menjelang Sukan Sea Laos menerusi dua jaringannya menentang Lesotho, kelmarin, ketika rakan sepasukan sekian lama bergelut menemui sasaran di depan gawang gol.

Walaupun tampil sebagai pemain gantian pada lewat babak kedua, kemunculannya mencetuskan impak serta-merta dengan dua jaringan pada minit ke-83 dan 90 untuk melengkapkan kemenangan 5-0 ke atas negara Afrika itu dalam siri perlawanan persahabatan dalam rangka persiapan bagi Sukan Sea Laos.



Abdul Manaf yang menjadi sebahagian daripada anggota pasukan Terengganu yang menjuarai pingat emas Sukma ketika menjadi tuan rumah pada 2008, dilihat muka baru buat barisan bawah 23 negara, namun Rajagobal sudah lama mengetahui bakat pemain itu yang diasuh bakatnya sejak bersama pasukan bawah 16 tahun negara.

“Dulu pemain ini pernah bersama saya dalam pasukan bawah 16 tahun pada 2004. Saya menggugurkannya seketika dan memberikannya peluang buatnya pada tahun ini untuk membuktikan dirinya,” kata Rajagobal.

Teguran Rajagobal pada waktu rehat jelas membuahkan hasil apabila barisan penyerangnya bangkit dari lena untuk meledakkan tiga gol pada separuh masa kedua.

“Saya memberitahu pemain supaya menjadi lebih agresif dan menggandakan asakan untuk mendapatkan gol,” katanya.

Terengganu Bina Institut Jantung

Terengganu bakal memiliki sebuah hospital institut jantungnya sendiri yang dibiayai kerajaan negeri itu apabila beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun depan.

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Said, berkata kerajaan negeri kini dalam proses untuk membeli sebuah resort dan kerja pengubahsuaian untuk dinaiktaraf sebagai sebuah hospital jantung akan dilakukan sebaik saja proses pembelian itu selesai sepenuhnya.

“Kita kini dalam peringkat akhir untuk menentukan harga bangunan berkenaan. Kita di peringkat membeli bangunan dan jenis peralatan yang mahu dibeli. Semuanya sudah ada cuma kita masih dalam mengubahsuai bangunan berkenaan.

“Kita belum boleh maklumkan di mana lokasi hospital berkenaan dan sekiranya sudah ditandatangani barulah kita akan umumkan. Bangunan ini, bukan saja akan menempatkan pesakit jantung tetapi juga untuk pesakit strok dan kanser kerana kita dapati di negeri ini, ketiga-tiga penyakit ini serius,” katanya di sini, semalam.