Rabu, Julai 15, 2009

Janda Aziz M. Osman Dapat Diploma

Duka Nor Radhiah Ramli, 23, bekas isteri pengarah dan pelakon, Aziz M. Osman selepas perceraiannya sedikit terubat apabila penantiannya selama dua tahun untuk menggenggam sekeping diploma, akhirnya tercapai semalam.

Dia berjaya mendapat Diploma Pengajian Islam dengan Teknologi Maklumat pada majlis Konvokesyen Pertama Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), di sini selepas menamatkan pengajiannya pada 2007.
Biarpun hasrat Nor Radhiah ingin meraikan hari bersejarah dengan bekas suaminya itu tidak tercapai, dia tetap gembira kerana hari yang ditunggu-tunggu selama ini sudah menjelma.

"Seolah-olah macam mimpi dan saya rasa sangat teruja datang ke majlis ini tapi agak sedih juga sebab ramai kawan-kawan lain tak dapat datang. Masa dengan Abang Aziz dulu kami ada berbincang untuk hadir bersama-sama ke konvokesyen tetapi nampaknya niat tu tidak kesampaian," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Siasatan Hampir Siap

Siasatan kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan di Gong Badak runtuh pada 2 Jun lalu kini 90 peratus siap.

Pengarah (Bahagian Perisikan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd. Jamidan Abdullah berkata, laporan siasatan itu dijangka diketahui dalam tempoh terdekat.

Beliau memberitahu, siasatan itu dibuat secara menyeluruh dan beberapa saksi termasuk kontraktor projek berkenaan serta individu tertentu telah dipanggil bagi membantu siasatan.

Mohd. Jamidan bagaimanapun tidak menjelaskan jumlah mereka yang dipanggil untuk siasatan serta siapa individu terbabit.

"Kita lakukan siasatan secara menyeluruh membabitkan semua pihak," katanya selepas menyempurnakan majlis penutupan Seminar Integriti Dalam Pengurusan Alam Sekitar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Peringkat Zon Timur 2009 di sini hari ini.

Beliau ditanya hasil siasatan SPRM berhubung kejadian sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang runtuh kira-kira pukul 9.30 pagi pada 2 Jun lalu.

Runtuhan melibatkan bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.

Bumbung yang runtuh itu menimpa sebuah kereta Perodua Kancil dan tiga buah motosikal, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Minggu lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, hasil siasatan awal kejadian itu dijangka diketahui tidak lama lagi.

Menurut beliau, siasatan masih dijalankan oleh jawatankuasa penyiasatan di peringkat pusat.

Terengganu Penganjur Bertaraf Internasional


Terengganu yang memiliki prasarana sukan kelas pertama mampu menjadi pusat sehenti sukan bertaraf antarabangsa, khususnya dalam menyediakan lokasi untuk atlit luar negara menjalani latihan terutama bagi sebarang sukan yang dianjurkan di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata kewibawaan Terengganu dalam penganjuran pelbagai acara sukan bertaraf antarabangsa sudah terbukti, malah kecemerlangan atlit negeri dalam kejohanan sukan tempatan dan luar negara patut dijadikan kesinambungan untuk merealisasikan hasrat Terengganu sebagai pusat sehenti sukan.

"Terengganu sudah banyak menganjurkan sukan peringkat dunia antaranya Kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa; Kejohanan Endurance Sedunia dan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun dan berjaya membuktikan kemampuan Terengganu menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa.

"Sebagai legasi kepada kecemerlangan sukan Terengganu, kita sediakan prasarana sukan yang baik dan ia boleh dimanfaatkan untuk menjadikan negeri ini sebagai pusat latihan sukan untuk atlit negara luar menjalani latihan di sini, sebagai persiapan menghadapi sebarang kejohanan sukan dianjurkan di Malaysia.

"Langkah ini bukan saja dapat memperkenalkan Terengganu sebagai pusat sehenti sukan khususnya kepada negara jiran, tetapi juga memberi ruang dan peluang untuk atlit tempatan terutama dari Terengganu untuk menimba pengalaman dan mempelajari teknik sukan yang boleh memanfaatkan mereka," katanya.