Sabtu, Julai 11, 2009

Harimau Muda Tersungkur Di Kaki T Team

PASUKAN T-Team memastikan kemenangan berharga menewaskan pendahulu Liga Perdana, Harimau Muda 3-2 di Stadium Nasional, malam tadi, menyaksikan pelawat hanya dipisahkan dua mata dari puncak liga.

Harimau Muda yang turun dengan tekad melebarkan jurang pendahuluan di tampuk liga ketika saingan berbaki lima perlawanan, terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi jaringan Irfan Faizal seawal minit ke-10.

Namun anak buah Che Ku Marzuki Mohd Noor, bangkit untuk merapatkan kedudukan 10 minit kemudian menerusi jaringan Haris Safuan Kamal sebelum Rosdi Talib meletakkan pelawat di depan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-24.

Gol penyamaan skuad Harimau hadir menerusi jaringan A Tamil Arasu pada minit ke-43, sebelum Hairudin Omar menjadi pemusnah dengan jaringannya pada minit ke-68 untuk pelawat pulang dengan tiga mata.

Kemenangan itu menyaksikan T-Team kini mengumpul 47 mata, dua mata memisahkannya dengan Harimau Muda yang kekal di puncak selepas mengumpul 49 mata daripada 19 perlawanan.

Kesah Natrah



Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Bertha Hertogh atau nama Islamnya Natrah pernah menyuarakan kerinduan kepada seluruh ahli keluarga angkatnya di Malaysia.

Kerinduan itu mendorong Natrah yang meninggal dunia akibat leukemia pada Khamis lalu meminta keluarga angkatnya di sini menziarahinya di Belanda.



Saudara angkatnya, Rokayah Mohd. Dahan, 63, berkata, Natrah telah menyatakan hasrat untuk bertemu semula mereka menerusi telefon dan e-mel.

Rokayah yang merupakan cucu kepada ibu angkat Natrah, Che Aminah Mohamed memberitahu, Natrah juga menghubungi adiknya di Kemaman dan juga anaknya yang tinggal di Kuantan.
“Sedih mengenangkan banyak kenangan manis bersama dengannya,’’ kata Rokayah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili Paya dekat sini semalam.

Antara peristiwa yang sukar beliau lupakan ialah bila Natrah masih petah bercakap Bahasa Melayu loghat Indonesia sewaktu datang ke Kemaman pada 1997 lalu walaupun sesudah 46 tahun meninggalkan Malaysia.

Sementara itu di Shah Alam, bekas penulis dan penyelidik majalah Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datin Fatini Yaacob, 50, terkilan kerana Natrah meninggal dunia sebelum beliau sempat menyiapkan biografi wanita tersebut.

Fatini pernah menjejaki Natrah sehingga ke Belanda dan Amerika Syarikat (AS) kira-kira 20 tahun lalu.