Ahad, Julai 05, 2009

Tawaran RM10,000 Tangkap Ikan Naga

Jabatan Perikanan negeri akan mengerah beberapa anggotanya dalam tempoh terdekat ini untuk menangkap ikan naga atau Arapaima gigas di Tasik Kenyir.Pengarahnya, Munir Mohd. Nawi berkata, pihaknya akan menangkap hidup-hidup ikan naga itu sekiranya ia benar-benar wujud di tasik berkenaan.

Katanya, jabatan akan menggunakan tiga bot yang sedia ada di Tasik Kenyir untuk membuat pemantauan dan seterusnya menangkap ikan tersebut."Usaha secara berterusan akan dilakukan selaras dengan tawaran yang dibuat oleh kerajaan negeri," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi hari ini.


Munir mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said semalam yang menawarkan RM10,000 kepada sesiapa yang berjaya menangkap ikan naga di Tasik Kenyir.Ahmad berkata, tawaran itu dibuat bagi mengelak spesies ikan kecil lain di tasik berkenaan pupus akibat di makan ikan naga tersebut.

Mengulas lanjut, Munir berkata, ikan naga mempunyai tarikan unik dengan saiznya mampu menyamai panjang sebuah kereta Perodua Kancil.Malah, katanya, ikan yang berasal dari Sungai Amazon itu boleh mencecah berat antara 50 sehingga 100 kilogram seekor.
Ikan naga sebesar itu pernah wujud di Sungai Kulai, Johor suatu ketika dahulu. Jelasnya, ketika ini pula seekor ikan jenis itu dengan saiz yang sama terdapat di Ladang Ikan Hiasan Xian Leng di Batu Pahat, Johor.

"Ikan Arapaima gigas yang panjangnya menyamai kereta Perodua Kancil diternak di ladang tersebut di Batu Pahat untuk tarikan pengunjung kerana saiznya yang unik," katanya.Ditanya bagaimana ikan tersebut wujud di tasik berkenaan, Munir menjelaskan, ia berkemungkinan besar dibawa masuk oleh pengusaha atau individu tertentu untuk dijadikan ikan hiasan di negeri ini.

Bumbung Runtuh Disiasat Oleh Konsultan UK

Kerajaan Terengganu melantik sebuah perunding dari United Kingdom (UK) bagi menyiasat punca sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri, di Gong Badak, runtuh pada 2 Jun lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata perunding itu yang mempunyai cawangan di Kuala Lumpur dijangka menyerahkan hasil siasatan dalam tempoh tiga bulan.

"Kita bersetuju melantik sebuah firma dari United Kingdom untuk mengendalikan kerja siasatan runtuhan bumbung stadium itu," katanya ketika ditemui, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi pada 2 Jun lalu, bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin hampir musnah apabila kira-kira 60 peratus struktur bumbung yang dibina tanpa tiang runtuh.

Stadium berharga RM292 juta itu baru siap kira-kira setahun lalu dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata stadium itu ditutup sehingga kerja-kerja membaikpulih dilakukan sepenuhnya dan ia akan dibuka setelah mendapat jaminan keselamatan daripada kontraktor yang dilantik.

Katanya, kerajaan Terengganu bersetuju melantik perunding swasta itu kerana berpendapat perlunya dua pihak yang menjalankan siasatan iaitu bagi kerajaan Pusat dan negeri.

Beliau berkata, segala perbelanjaan untuk khidmat perunding dari UK itu akan dibiayai sendiri oleh kerajaan negeri.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata beberapa gelanggang yang ada di stadium itu seperti gelanggang skuasy dan bola sepak terpaksa ditutup dan kejohanan yang sepatutnya diadakan di situ, dipindahkan ke tempat lain.