Khamis, Jun 25, 2009

Terengganu Meningkat

Pasukan Terengganu menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri untuk menewaskan Kuala Muda Naza 2-0 dalam perlawanan ulangan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, semalam.

Gol pertama Terengganu dijaringkan oleh penyerang muda, Abdul Manaf Mamat pada minit ke-19 sebelum giliran Md. Ashaari Shamsudin pula menyempurnakan gol kedua pasukan Penyu.

Separuh masa pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun tuan rumah lebih banyak mendapat peluang untuk menjaringkan gol.

Azlan Ismail mempersia-siakan hantaran lintang Abdul Manaf di hadapan pintu gol Kuala Muda Naza pada minit ke-30.

Percubaan terbaik Kuala Muda Naza muncul pada minit ke-42 apabila rembatan kencang Manzoor Azwira Wahid menyaksikan bola terkena tiang gol dan melantun ke luar padang.

Dengan kemenangan ini, Terengganu mengumpul 33 mata untuk menduduki tempat keenam carta liga berkenaan.