
Pengurus projek penyertaan atlet Malaysia WEC 2008, Mohd. Din Mat berkata bukan semua jenis kuda berkemampuan atau memiliki daya ketahanan yang tinggi untuk merentasi jarak perlumbaan sejauh 160km itu.
"Kejohanan ini adalah acara yang paling sukar kerana ia menguji daya ketahanan kuda dan penunggangnya kerana kejayaan bergantung kepada gandingan fizikal serta mental penunggang dan kuda menghabiskan perlumbaan dalam jarak yang ditetapkan," katanya.
Mohd. Din berkata pemilihan kuda dari baka Arab dan Englo dibuat kerana ia mempunyai daya ketahanan yang tinggi berbanding kuda daripada baka lain.
Katanya pasukan negara turut mengunakan kuda dari baka Arab dan Englo bagi memastikan kuda itu mampu untuk menamatkan perlumbaan."Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menyertai kejohanan itu turut menunggang kuda dari baka Arab yang diberikan nama Taljari Moon Pharoah dan Ibrahim Pascha Larzac," katanya.

Menurutnya selain dari aspek fizikal dan baka, kuda itu juga perlu mendapat Sijil Kelayakan Penyertaan (COC) daripada Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa untuk layak menyertai kejohanan dwi-tahunan itu.Mohd. Din berkata bagi menjaga keseimbangan kuda, makanan khas diperlukan untuk menjaga prestasi setiap kuda.
"Jenis makanan khas yang biasanya diberikan ialah Cuibes, Haven, Chaff dan banyak jenis lagi bergantung kepada pemilihan yang dibuat pasukan," katanya.